"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haji Hadi : ‘Bodoh’ isytihar harta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Syarat PKR supaya calonnya mengisytiharkan harta adalah satu “kebodohan”, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

“Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila, Marang, menurut Malaysiakini.

Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sejauh mana parti itu akan turut sama mengikuti langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilapor berkata, setiap calon parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu berbuat demikian bagi memastikan standard yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

Langkah itu juga dikatakan akan menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan institusi yang mereka berkhidmat sekiranya calon itu mula memegang jawatan.

Semalam, PAS berkata parti itu tidak akan mengambil pendekatan meminta calon PRU15 mengisytiharkan harta kerana ia mungkin akan memberikan implikasi negatif.

Naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada menteri besar.

“Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.

“Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang PAS tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: