"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuan Ibrahim calon MB PN di Pahang - Muhyiddin

Malaysiakini

Langkah PN meletakkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding di kerusi DUN Pahang menunjukkan keseriusan gabungan itu mahu mentadbir negeri berkenaan.

Malah Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, secara terbuka mengumumkan Tuan Ibrahim adalah calon menteri besar PN untuk Pahang.

"Di Pahang, Tuan Ibrahim bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN).

"Jika kita menang di Pahang, maka Tuan Ibrahim akan menjadi menteri besar di sana," katanya ketika berucap dalam ceramah umum PN Best di Pendang, Kedah, malam tadi.

Tuan Ibrahim merupakan penyandang kerusi parlimen Kubang Kerian yang memenanginya pada 2018 dengan majoriti 19,369 undi. Kali ini PN mengekalkan dia sebagai calon di kerusi tersebut, selain dipertaruhkan untuk kawasan DUN Cheka.

Pada PRU lalu calon MCA-BN memenangi kerusi Cheka perbezaan undi hanya 202 undi. Calon PAS Saludin Endol berada di tempat kedua.

Muhyiddin juga mengulangi janji PN untuk memberikan sokongan kepada PAS agar wakil rakyat mereka menjadi menteri besar di Perlis berjaya ditawan.

"Insya-Allah Perlis bakal jatuh ke tangan kita (PN) pada PRU kali ini dan jika ia berlaku maka wakil PAS akan jadi menteri besar di sana.

Jangka menang Perlis, Pahang

Untuk rekod, walaupun menjadi ahli parlimen di Kelantan, Tuan Ibrahim bukanlah asing kepada Pahang.

Selain lahir di Jerantut kira-kira 62 tahun lalu, dia juga pernah menjadi Adun bagi DUN Jengka pada penggan 1999 hingga 2004.

Sementara itu pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata dia bersetuju jika PAS menerajui negeri-negeri berkenaan memandangkan parti itu mempunyai kekuatan yang lebih berbanding Bersatu.

"PAS mempunyai jumlah kerusi lebih besar di negeri-negeri itu berbanding Bersatu, bagi saya tidak apa. Yang penting dapat mentadbir negeri dengan baik seperti menteri besar Kedah.

"Kita ada rundingan ada negeri akan diterajui Bersatu, dan di utara ikut sejarah sekarang di Perlis dan Pahang PAS yang banyak kerusi.

"Saya jangkakan kedua-dua negeri ini kita boleh menang," kata Muhyiddin.

Tiada ulasan: