"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cemas kenderaan terperangkap banjir

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua pemandu kereta berdepan detik cemas selepas kenderaan mereka terperangkap akibat banjir kilat di Jalan Chan Sow Lin, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian jam 7.40 malam itu, paras air di kawasan berkenaan naik secara mendadak.

"Terdapat dua mangsa dalam kejadian ini membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun yang memandu Perodua Axia dan seorang lelaki berusia 39 tahun memandu kereta jenis Subaru.

"Kedua-dua kenderaan itu dikatakan masuk ke kawasan banjir (kilat) dan tidak sempat untuk mengundur kenderaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ashari berkata, kedua-dua mangsa yang terperangkap itu berjaya diselamatkan dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua kenderaan itu juga sudah dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Sementara itu, pihak Polis Kuala Lumpur juga melakukan pemantauan di beberapa lokasi yang dinaiki air di Terowong Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibah dan Jalan Kuchai Lama.

Berdasarkan laporan dimuat naik di Facebook Polis Kuala Lumpur, air mulai surut di dua lokasi berkenaan mulai surut dan laluan mula dibuka semula untuk pengguna jalan raya.

Tiada ulasan: