"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi dedah 'Projek RM2b dilulus melalui rundingan terus sehari sebelum Parlimen bubar'

Geraldine Tong

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menunjukkan surat yang didakwanya menunjukkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2, yang diluluskan kerajaan secara tender terus kepada sebuah syarikat pada 7 Oktober, iaitu satu hari bekerja sebelum Parlimen dibubarkan.

Surat itu menjadi pendedahan terbarunya dalam siri pendedahan melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air di bawah menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga timbalan presiden PAS.

Berdasarkan surat yang ditunjukkannya itu, ia dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang, bertarikh 7 Oktober.

Surat itu menyatakan menteri kewangan telah meluluskan agar projek tebatan banjir Sungai Langat 2 diberikan secara rundingan terus kepada syarikat yang didakwa Rafizi sebagai "kroni Umno".

"Surat dari Kementerian Kewangan ini dikeluarkan pada 7 Oktober 2022 iaitu pada hari pembentangan bajet yang lepas. Secara logiknya, tumpuan keseluruhan kerajaan, Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan pada hari itu ialah pembentangan bajet.

"Sebaliknya, surat ini dikeluarkan juga pada tarikh itu memandangkan menteri-menteri telah pun tahu bahawa Parlimen akan dibubarkan pada hari Isnin, 10 Oktober 2022.

"Sebab itu saya katakan bahawa projek sebesar ini telah dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PR15," katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Rafizi berkata dia menerima salinan surat itu dari pegawai kerajaan yang marah dengan amalan tersebut.

Menyifatkan situasi itu sebagai fait accompli (sesuatu yang sudah berlaku), Rafizi berkata tindakan memaklumkan ketua setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air berkenaan keputusan menganugerahkan kontrak itu hanyalah prosedur.

"Selepas itu, jika kementerian misalnya ingin mengeluarkan surat perjanjian (letter of award), mereka boleh mengelak peruntukan ini dan berkata komitmen dibuat sebelum Parlimen dibubarkan," katanya.

Sebelum ini, dia juga membangkitkan tentang pekeliling yang dikeluarkan perbendaharaan menghalang kerajaan sementara memetarai sebarang komitmen kontrak atau aku janji yang memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baru selepas PRU15.

Pada masa sama pekeliling tersebut menyatakan kerajaan boleh meneruskan dasar dan projek pembangunan sedia ada, atau memeterai kontrak berhubung projek yang mana peruntukan telah pun diluluskan di Parlimen atau kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan.

Hari ini Rafizi berkata Tuan Ibrahim mungkin cuba mengelak daripada tanggungjawab dengan mengatakan namanya tidak disebut dalam surat tersebut.

Namun, katanya, apabila keputusan sebesar itu dibuat melibatkan Kementerian Alam Sekitar dan Air, pastinya ketua setiausaha kementerian akan memberi makluman kepada Tuan Ibrahim selaku menteri.

"Sebab itu saya kecewa dengan reaksi Tuan Ibrahim dan kepimpinan PAS yang cuba memberi gambaran mereka tidak tahu apa-apa.

"Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim tidak berselindung di sebalik satu surat tuntutan untuk mencuci tangan dari tanggungjawabnya mengenai projek ini," katanya lagi.

Semalam, peguam yang mewakili Tuan Ibrahim menyerahkan surat tuntutan kepada Rafizi, mendakwa calon kerusi Parlimen Pandan itu memfitnahnya dalam isu tersebut.

Tuan Ibrahim juga memberikan tempoh tujuh hari kepada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya.

Rafizi berkata dia berharap Tuan Ibrahim meneruskan tindakan saman itu kerana dia memang "mahu ke mahkamah" kerana ada bukti yang kukuh mengenai perkara itu.

Berkenaan gesaan Tuan Ibrahim agar dia membuat laporan di SPRM, Rafizi berkata dia telah membuat laporan kepada suruhanjaya itu banyak kali sebelum ini namun tanpa sebarang kesan.

Namun dia berkata jika PH menang dan menjadi kerajaan persekutuan nanti, dia akan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan SPRM, saya berharap dia bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya PH membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat," katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi berkata dia akan menumpukan perhatiannya kepada penglibatan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri kewangan sebelum ini dalam projek tersebut.

Tiada ulasan: