"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Antara ahli politik yang cuba buat kemunculan semula

Bernama

Antara ahli politik yang cuba mendapatkan kerusi dalam Parlimen termasuklah Khaled Nordin, Johari Ghani, Rafizi Ramli, Tian Chua dan Ong Tee Keat.

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini menjadi ‘gelanggang’ buat beberapa nama besar dalam arena politik negara membuat penampilan semula setelah berehat seketika dalam arena politik.

Antara mereka ialah calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Khaled Nordin yang bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi.

Naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor itu akan berdepan saingan tiga penjuru di kerusi terbabit, selepas kalah mengejut di Parlimen Pasir Gudang kepada calon Pakatan Harapan (PH), Hassan Karim pada PRU14 dengan majoriti 24,726 undi selain turut tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Seperti Mohamed Khaled, seorang lagi calon BN, Johari Abdul Ghani juga kembali mencuba nasib di kerusi Parlimen Titiwangsa yang pernah dimenanginya pada PRU13, namun tsunami politik ketika PRU14 menyaksikan beliau tewas kepada calon PH, Rina Mohd Harun dengan majoriti 4,139 undi.

Pada PRU kali ini, bekas menteri kewangan Kedua itu berdepan saingan empat penjuru melawan Khairuddin Abu Hassan (GTA-Pejuang), Khalid Abd Samad (PH-Amanah) dan Rosni Adam dari Perikatan Nasional (PN-PAS).

Selain calon BN, turut mencuri tumpuan pada PRU15 ialah taruhan PH di kerusi Parlimen Pandan apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat kemunculan semula selepas tidak dapat bertanding di Parlimen sama pada PRU lepas.

Turut membuat kemunculan pada PRU15 ini di kerusi berkenaan ialah bekas presiden MCA, Ong Tee Keat yang telah menyertai Warisan, selepas berehat lima tahun dari arena politik negara.

Ong yang juga bekas menteri pengangkutan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013, manakala Rafizi pula tidak bertanding pada PRU14 kerana hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2018, menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana mendedahkan butiran empat akaun bank membabitkan Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Tempat Rafizi kemudian digantikan Pengerusi Penasihat PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding atas tiket PH dan Wan Azizah menang di kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti 52,543 undi, dalam persaingan lima penjuru.

Rafizi menjadi Ahli Parlimen Pandan sepenggal bermula 2013 hingga 2018 selepas memenanginya pada PRU13

Di Parlimen Batu pula, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua mencipta kejutan apabila bertanding atas tiket Bebas dalam saingan 10 penjuru menentang penyandangnya P Prabakaran (PH-PKR), serta empat lagi calon Bebas yang terdiri daripada Siti Kasim, Zulkifli Fattah, Too Gao Lan dan Nur Fathiah Syazwana @ Cleo.

Calon lain yang turut bertanding ialah Wan Azliana Wan Adnan (GTA-Pejuang), Azhar Yahya (PN-PAS), Naganathan Pillai (Warisan) dan A Kohilan Pillay (BN-MIC).

Tiada ulasan: