"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SURAT | Dari rakyat, untuk rakyat, kepada rakyat

Amir Halim

Setiap kita mempunyai penanda aras yang berbeza dalam kelangsungan hidup. Ada yang berpaksikan pencapaian. Ada berpaksikan kebahagiaan. Ada berpaksikan mimpi. Ada berpaksikan sensasi. Setiap kita punya paksi berbeza.

Jika dilihat, paksi-paksi ini sebenarnya meraikan warna kehidupan. Supaya seimbang semuanya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengikut aturannya. Setiapnya punya sebab tersendiri dan tugasnya.

Setiap kita berkongsi beberapa keperluan asas yang sama, walaupun berbeza paksi kehidupan. Aspek keperluan ini menjadi penanda aras minimum dan titik mula sebelum setiap kita boleh mengejar paksi kehidupan masing-masing.

Memberi lebih baik dari memberi

Antara aspek asas utama adalah kestabilan pendapatan dan keterjaminan pekerjaan atau “job security” untuk setiap isi rumah. 

Aspek ini selalu dilihat mudah oleh kerajaan dengan menyalurkan bantuan yang bersifat sementara dan bukan berkala sepanjang tahun atau berterusan. Seakan satu pepatah yang sering kita dengar;

“Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya” – Lao Tzu, pengasas Taoisme.

Kerajaan seharusnya memahami keperluan asas rakyat dan menghulurkan bantuan yang mampu untuk menyelesaikan masalah, bukan hanya menunda masalah semata.

Sebagai contoh, untuk mencapai kestabilan pendapatan, kerajaan yang dipilih perlu mengkaji semula setiap dasar berkaitan pekerja dan buruh seperti gaji minimum dan elaun mengikut keadaan ekonomi semasa supaya hak pekerja terjamin dan mampu menampung perbelanjaan harian dalam keadaan yang selesa, dan bukannya terdesak.

Kesan pelaksanaan dasar-dasar yang menjamin hak pekerja bukan sahaja menjamin kesejahteraan fizikal dan mental rakyat, juga akan meningkatkan ekonomi tempatan kerana kuasa membeli akan meningkat secara tidak langsung.

Lebih lagi kini kita berada di era pascapemulihan pandemik. Ramai rakyat yang terkesan. Ada yang diberhentikan kerja. Ada yang terpaksa menjual harta. Sebuah keadaan di luar norma biasa. Kerajaan yang dipilih perlu mengambil situasi ini sebagai titik mula untuk membantu semula rakyat untuk bangkit dan stabil semula.

Kuasa rakyat

Rakyat itu adalah kerajaan. Tanpa rakyat, tiada kerajaan. Kerusi parlimen hanyalah simbolik di dalam sebuah negara demokrasi berparlimen. Jika dilihat dari satu sudut lain, pilihan raya hanyalah sebuah sesi temu duga besar-besaran antara rakyat dan parti-parti yang berminat untuk menjadi kerajaan. Untuk mentadbir kerajaan. Di sini rakyat adalah penemuduga, dan parti adalah pemohon yang ingin mengisi jawatan kosong tersebut.

Jelas bahawa rakyat yang mempunyai kuasa menentukan siapa yang benar layak untuk mengisi jawatan kerajaan. Bukan parti. Mereka adalah pemohon. 

Berdasarkan rekod pilihan raya yang lepas, parti sebaliknya sering dilihat sebagai yang berkuasa menentukan siapa yang layak mengisi jawatan tersebut. Bukan kerana rakyat tidak peduli, tetapi kerana sebuah budaya yang telah lama diterap dari sekian dulu.

Tukar modus operandi lama

Pada zaman dahulu kala, hanya golongan “rakyat” yang dibenarkan mengundi ketika pilihan raya. Gelaran “rakyat” ini hanya diberi kepada golongan lelaki yang merdeka sahaja. Golongan wanita, kanak-kanak dan hamba pula tidak diktiraf sebagai “rakyat”.

Namun zaman berubah, sistem demokrasi juga bercambah.

Tetapi, modus operandi yang ditinggalkan masih lagi diguna pakai secara halus. 

Modus operandi yang mudah, tetapi berkesan. Untuk kekal berkuasa, perlu menekan rakyat supaya rakyat hanya memikirkan tentang kelangsungan hidup demi mencari sesuap nasi. Supaya rakyat tiada masa untuk memikirkan hal politik dan menyerahkan sepenuhnya kepada parti pemerintah untuk menentukan.

Apabila terlalu selesa dan tiada pemantauan, akan berlaku penyelewengan dan korupsi kerana keadaan semasa yang mendesak dan peluang yang terbuka luas sebagai wakil rakyat. Seterusnya, akan lahir sifat tamak dan mementingkan periuk nasi sendiri semata. Rakyat terus dilupa. Walaupun mereka juga sebenarnya adalah rakyat.

Perkara seperti ini boleh dielakkan jika kita, sebagai rakyat menilai parti-parti ini sebaiknya dan mengundi parti yang layak, dan mampu melaksanakan dasar dan tindakan dengan penuh integriti, bebas korupsi.

Seandainya tersalah pilihan, perlu ingat bahawa kuasa memilih selalu di tangan kita dan kita mampu menolak mereka di pilihan raya seterusnya. Jika mereka kerajaan yang gagal, berikan peluang kepada yang lebih layak.

Tiada ulasan: