"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelatih hoki meninggal dunia di asrama MSN Perak

Bernama

Mendiang Bill Wolfson Anak Lianie, dari Sarawak, berada di Ipoh sejak Khamis lepas bagi menghadiri Klinik Penjaga Gol di Akademi Hoki Raja Ashman yang bermula semalam. (Gambar Bernama)

IPOH: Seorang pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang mengikuti Program Klinik Penjaga Gol di Akademi Hoki Raja Ashman di sini, meninggal dunia di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) Perak pagi tadi.

Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail berkata, Bill Wolfson Anak Lianie, 14, mengadu tidak selesa serta berasa hendak pitam sebelum tiba-tiba rebah di dalam biliknya pada kira-kira 7 pagi.

“Pengurusan NHDP telah memanggil ambulans dan bantuan pernafasan telah dilakukan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Selepas cubaan menyelamatkannya dilakukan, mendiang disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB.

Sehingga kini, punca kematian remaja itu tidak dapat dipastikan, tambahnya.

Shapawi berkata, mendiang Wolfson adalah antara penjaga gol di Pusat Latihan Daerah NHDP di SMK Penrissen, Kuching, Sarawak yang terpilih mengikuti klinik dikendalikan oleh NHDP di sini sempena penganjuran Piala Sultan Azlan Shah bermula semalam hingga hari ini.

Menurutnya, mendiang ditemani oleh Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak Wilina Mac Carina Anak Wilson dan tiba di Ipoh pada Khamis lepas dengan menaiki penerbangan.

“Pihak keluarga telah dihubungi dan pengurusan NHDP sedang berurusan dengan hospital mengenai pengurusan jenazah,” katanya.

Mendiang Wolfson dijangka diterbangkan ke Kuching bagi urusan pengebumian, tambahnya.

Shapawi berkata, pengurusan MSN, Persekutuan Hoki Malaysia dan NHDP telah diarahkan supaya memudahkan pengurusan jenazah mendiang, dengan dibantu MSN Perak.

Tiada ulasan: