"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa ada ahli politik Pas gemar buat fitnah pada PH?

ZIN MAHMUD

Semasa kempen PRU tentulah calon-calon atau ahli politik sentiasa berucap di merata-rata tempat. Untuk sentiasa mempunyai bahan bagi ucapannya, ia merupakan perkara sukar.

Ini kerana ucapan mereka akan membosankan kerana perkara yang diperkatakan akan berulang-ulang. Lebih-lebih lagi pada zaman media sosial ini, yang mana satu ucapan boleh ditularkan dengan segera.

Untuk mencari bahan bagi memburukkan PH adalah dengan menyatakan sesuatu yang menarik dan sensasi. Maka cara terbaik ialah mencipta kisah-kisah yang boleh memburukkan PH dan pemimpinnya.

Ataupun bercakap mengenai kisah-kisah palsu yang berlegar dalam masyarakat mengenai pemimpin PH. Oleh kerana ia hanya cerita yang tidak benar, maka ia adalah fitnah.

Sudah boleh agak fitnah apa yang dilemparkan oleh tukang-tukang kempen Pas terhadap Anwar Ibrahim dan PKR. Untuk menyebar fitnah tsrhadap DAP lagi mudah. DAP itu dilabel “komunis” sedangkan parti itu pada susur galur dilahirkan untuk selamatkan negara ini daripada jatuh ke tangan komunis.

Terhadap Amanah, sasarannya lebih kepada Mujahid Yusof Rawa dan Tabung Haji semasa ia berada dalam tanggungjawabnya. Walaupun ia jelas fitnah tetapi tetap ďi diulang-ulang tanpa henti.

Mengapa perlu melemparkan fitnah? Mengapa perlu menyebarkan sesuatu tuduhan tanpa mempunyai maklumat sebenar?

Jika tiada maklumat yang dimiliki, mengapa Pas tidak tumpukan kepada rancangan yang mereka mahu lakukan jika menjadi kerajaan? Atau tumpukan kepada apa yang hendak mereka suarakan dalam Parlimen jika mereka hanya menjadi pembangkang?

Sebenarnya selepas merasa menjadi sebahagian daripada kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022 ini, penampilan Pas berubah. Apa yang mereka laungkan sebelum itu bukan saja tidak dilaksanakan tetapi tidak disebut pun.

Berkemungkinan mereka sedar bahawa apabila memegang kuasa, banyak pertimbangan perlu dibuat untuk melaksanakan sesuatu. Lebih-lebih lagi Pas berkongsi kuasa dengan parti lain yang memerlukan tolak ansur dan kompromi.

Kini Pas bukan bertanding sendiri. Ia berkongsi dengan Bersatu dan Gerakan. Maka jika Perikatan Nasional jadi kerajaan, Pas tetap kena berkongsi dengan Bersatu dengan Gerakan.

Kini calon Bersatu turut bertanding menggunakan lambang bulan di Kelantan dan Terengganu. Sama ada menjadi parti utama atau tidak, Pas kena tolak ansur dengan Bersatu, sebuah parti yang dasarnya adalah serupa dengan Umno.

Jadi, sebenarnya Pas hendak ke mana? Adakah hanya mdnjadi parti untuk kuatkan Bersatu? Apa sebenarnya program Pas yang berbeza daripada parti lain? Atau Pas hanya sebuah parti biasa seperti pihak lain untuk mendapatkan kuasa.Tetapi dengan penampilan agama dan diketuai oleh orang berpendidikan agama?

Tetapi kalau agama menjadi asas, tentulah perkara penting ialah elakkan diri daripada menabur fitnah. Juga, mengelakkan diri daripada menyemai kebencian kepada kaum lain.

Dan di atas segalanya ialah mengelakkan diri daripada korupsi atau bersubahat dengan pihak yang terlibat dengan korupsi.

Semasa kempen sekarang, pengundi tidak mengenal perbezaan antara calon Pas dan Bersatu. Sedangkan dasar kedua-dua parti itu berbeza. Adalah tidak adil bagi pengikut Pas memberi undi untuk calon Bersatu yang berbeza fahaman. Lebih-lebih lagi apabila jentera Pas bertungkus-lumus berkempen untuk Bersatu.

Daripada menyebarkan cerita-cerita tidak benar mengenai PH, maka Pas patut menerangkan mengapa ia sanggup berpakat dengan Bersatu. Iaitu selepas BN menolak kerjasama dengannya. Kelihatannya Pas hanya mengejar kuasa dan bukannya untuk mendokong prinsip-prinsip perjuangan parti.

Bersama Bersatu itu hanyalah suatu percaturan bagi mendapatkan kuasa. Tetapi tidak kelihatan untuk apakah kuasa itu?

Tiada ulasan: