"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa kesudahan Hajiji di Sabah? Ini kronologi…

BERNAMA

Kemelut politik di Sabah menyaksikan pemimpin parti-parti politik di negeri itu masing-masing menyuarakan pandangan berbeza mengenai kedudukan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ia bermula dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghidu cubaan menyerang Hajiji dan kerajaan negeri Rabu lalu (4 Jan), dengan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan parti itu sedia membuktikan keabsahan Hajiji sebagai ketua menteri.

Pihak tersebut mula menampakkan diri mereka malam tadi (6 Jan) dengan sekutu Hajiji dalam kerajaan negeri iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Timbalan Ketua Menteri, mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Sabah.

Tindakan BN Sabah menarik sokongan menurut Bung Moktar kerana hilang kepercayaan kepada Hajiji sebagai ketua menteri, selain perjanjian BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 tahun 2020 dilanggar, antaranya dengan Hajiji serta pengikutnya keluar Bersatu yang merupakan komponen PN.

Selain itu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat iaitu Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Wetrom Bahanda (Bandau), dan Datuk Juil Nuatim (Limbahau), percaya Hajiji tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri.

Hari ini, Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menegaskan, semua pihak harus mematuhi undang-undang terutama Perlembagaan Negeri Sabah, dalam menentukan kedudukan ketua menteri dan kerajaan negeri.

Warisan tidak mendesak Hajiji meletak jawatan, sebaliknya ADUN Sulaman itu sendiri perlu faham kedudukannya kini berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, dan turut mendakwa tindakan Hajiji keluar Bersatu menyebabkannya tidak mengetuai sebuah parti, kerana GRS adalah gabungan parti.

Menyambut serangan itu hari ini, Masidi sekali lagi tampil menegaskan GRS mendapat sokongan majoriti lebih daripada cukup daripada ADUN untuk mengekalkan kerajaan negeri, dan tiada merit atas dakwaan Bung Moktar bahawa Hajiji tiada hak di sisi undang-undang untuk kekal sebagai ketua menteri.

Lima ADUN BN Sabah pula tampil mempertahankan kedudukan Hajiji sebagai ketua menteri, dengan menolak keputusan BN negeri menarik sokongan itu dan menegaskan ini bukan masa merebut kuasa politik, sebaliknya masa untuk bersatu supaya kerajaan negeri dapat memulih dan memajukan ekonomi, serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

ADUN itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Pembantu Menteri Kewangan negeri Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Pakatan Harapan (PH) Sabah juga hari ini menyatakan sokongan kepada Hajiji, selain tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan kesemua tujuh ADUN PH Sabah menegaskan sekiranya kemelut itu tidak ditangani segera, ia akan menyaksikan kedudukan DUN tergantung.

Mereka ialah Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew yang juga ADUN Api-Api, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon (Tanjung Papat), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Hajiji turut mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini pada 4.22 petang hari ini dipercayai melibatkan situasi politik negeri ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Sabah, bagi membincangkan isu politik negeri itu sebaik sahaja pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia.

Ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini, Anwar berkata beliau telah menghubungi Hajiji dan berpuas hati dengan keadaan semasa di negeri itu, yang dianggap dalam keadaan terkawal.

“Saya juga difahamkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bercakap dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan keadaan terkawal untuk seketika.

“Kita (kerajaan) akan pastikan keadaan pengurusan kerajaan negeri itu tidak terjejas kerana keutamaan kita ialah menjana pertumbuhan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat. Pastinya selepas saya kembali dari Jakarta saya akan beri perhatian khusus tentang perkembangan di Sabah,” katanya.

Esok, Istana Seri Kinabalu akan terus menjadi tumpuan petugas media bagi melaporkan perkembangan semasa situasi politik Negeri di Bawah Bayu itu.

— BERNAMA

Tiada ulasan: