"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar enggan mengantara krisis Sabah walaupun Zahid terkesan

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan enggan menjadi perantara dalam krisis politik Sabah, keluh seorang sumber dalam Umno, selepas beliau menyuarakan sokongan kepada Hajiji Noor untuk terus memimpin negeri itu susulan pertemuan dengan pihak-pihak bertelagah pada Isnin.

Katanya, Anwar sekadar meluangkan masa beberapa jam di Sabah untuk membincangkan perkara itu, “meskipun situasi itu akan memberi kesan kepada Zahid Hamidi dan mungkin menyebabkan dia terlepas jawatan presiden parti.”

“Jelas Anwar tidak mahu menyokong Zahid, di sebalik hubungan mereka itu,” katanya.

Sementara itu, sumber dalam Pakatan Harapan berkata wakil rakyat gabungan itu tidak sudi menerima tawaran daripada ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

“Mereka sedar kalau mereka terima tawaran, mereka akan perlu jawab kepada Anwar yang tidak mahu masuk dalam kontroversi itu,” katanya.

Barisan Nasional Sabah pada Jumaat menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji, di sebalik spekulasi ia berhasrat untuk bekerjasama dengan Warisan bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Dikatakan cubaan itu gagal selepas Hajiji memperoleh sokongan 43 ADUN, termasuk tujuh wakil rakyat PH Sabah dan lima daripada Umno negeri, yang menentang Bung untuk bersama ketua menteri.

Akibatnya hanya lima ADUN Umno dalam kerajaan, manakala kerusi yang diduduki Bung dan 11 wakil rakyat lain di Dewan Undangan Negeri dipindahkan ke blok pembangkang, apabila dewan bersidang pada Isnin.

Hal ini dijangka menjadi isu utama pada perhimpunan agung Umno yang bersidang hari ini.

Sumber dalam Umno berkata Zahid sekadar mahu memuaskan hati Bung, apabila beliau terlibat dalam hal itu.

“Bung mempunyai pengaruh ke atas pemimpin-pemimpin Umno di 25 bahagian Umno di Sabah. Zahid perlukan sokongan mereka bagi memastikan tiada siapa mencabar beliau untuk jawatan presiden.

“Krisis Sabah mungkin tidak akan memberi kesan kepada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan yang sudah ada suatu perjanjian, tetapi ia tentu sekali memberi kesan kepada pemilihan Umno,” katanya.

Beliau berkata Zahid akan “panik” sekiranya perwakilan Umno menarik balik sokongan kepada beliau.

Namun, beliau berkata Bung Moktar yang tersalah congak.

“Untuk berlaku adil, naratif Bung tidaklah salah sepenuhnya. Sebenarnya wakil rakyat yang meninggalkan Bersatu beroperasi tanpa parti. Peranan ketua menteri patut diberi kepada seseorang yang berparti,” katanya.

Tiada ulasan: