"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Jelebu: Tandatangan SD sokong Muhyiddin bukan khianat BN

Haspaizi Zain

Menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15 bukan bermaksud mengkhianati parti, jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Jalaluddin Alias.

Sebaliknya, kata Jalaluddin pengkhianatan kepada parti apabila bersama dengan pembangkang untuk mengalahkan calon BN.

Ahli Parlimen Jelebu itu antara 10 wakil rakyat Umno memberi akuan bersumpah (SD) kepada Muhyiddin selepas PRU15.

"Tentang 10 ahli parlimen termasuk saya ketika itu, kita buat satu keputusan berdasarkan kepada naratif parti. Tetapi bila parti sudah buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri, buat pembatalan SD dan mengikut keputusan parti.

"Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan khianat kepada parti.

"Khianat kepada parti ialah (apabila) kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi pilihan raya umum (PRU), itu khianat kepada parti.

"Yang saya maklum, termasuk saya, ketika kita menghadapi PRU kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan parti," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, ketika taklimat presiden pada PAU2022 mendedahkan 10 ahli parlimen Umno yang menyerahkan SD sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Jalaludin antara 10 ahli parlimen Umno yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun, SD sokongan terbabit ditarik balik selepas BN membuat keputusan bersetuju untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Jalaluddin berkata, dia yang bertanding atas tiket BN akur dengan apa juga keputusan ditetapkan oleh parti.

Tak nampak negatif ucapan presiden

"Saya bertanding atas (tiket) BN. Bila parti buat keputusan, kita akur.

"Saya tak nampak sudut negatif dalam ucapan presiden atau timbalan presiden. Ini ucapan yang lebih realistik, futuristic dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas.

"Bila parti sudah buat keputusan, bahawa ini keputusan parti untuk menerima Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian gabungan dalam kerajaan perpaduan, kita okay dan tarik SD berkenaan.

"Kecuali bila parti dah buat keputusan, kita masih kekal dengan pendirian itu, itu sudah khianat pada keputusan parti," katanya lagi.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap pengkhianat parti, Jalaluddin berkata ia perlu melihat sama sesuatu tindakan itu melanggar perlembagaan parti atau sebaliknya.

Tiada ulasan: