"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Selangor: Rafizi ramal PH mampu menang 45 kerusi, hilang 8 kerusi

Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan Pakatan Harapan (PH) mampu menang sekurang-kurangnya 45 kerusi dewan undangan negeri di Selangor sekiranya jentera berkerja keras, pada pilihan raya negeri akan datang.

Melihat ia sebagai sasaran yang realistik, Rafizi berkata ia kerana faktor pengundi yang disifatkan sebagai “celik ekonomi.”

Rafizi turut menjangkakan bahawa PH kemungkinan akan hilang tujuh hingga lapan kerusi daripada 51 kerusi yang dimenangi pada PRU ke-14, iaitu ketika Bersatu juga merupakan sebahagian daripada PH.

Namun, menurut Rafizi, jumlah itu juga bergantung kepada prestasi kerajaan persekutuan sepanjang kira-kira empat bulan ini dan peralihan pengundi Umno kepada PH selepas menubuhkan kerajaan persekutuan bersama.

“Setakat ni kalau kita tengok kepada beberapa kaji selidik yang berasingan menunjukkan bahawa pengundi PH yang menerima dengan baik gabungan ini

“Jadi hypothetically, sepatutnya untuk mengekalkan 40 kerusi tu agak mudah kerana tanda-tandanya paling menyokong dan menerima realiti kerajaan perpaduan ini, adalah penyokong PH terutamanya penyokong di kawasan bandar dan separuh bandar, yang faham tentang keperluan dan dasar nak dibuat.

“Di Selangor, risiko yang kita belum tahu lagi maksudnya ketidaktentuan berapa banyak undi Umno yang boleh dipindahkan kepada PH, not so much (tidak begiru banyak) berapa banyak pengundi PH itu akan menyokong PH ataupun PH-BN,” katanya dalam sidang media selepas berucap di Konvensyen PKR untuk PRN Selangor di IDCC, Shah Alam, Selangor hari ini.

Katanya, meskipun tugas untuk menjelaskan kepada akar umbi Umno agak rumit, tetapi ia akan tidak mustahil walaupun memakan masa.

Gelombang PAS macam ‘kocak air dalam cawan kecil’

Pada masa sama, Rafizi yang juga menteri ekonomi meminta supaya perwakilan di Selangor tidak bimbang dengan “gelombang hijau” dari Perikatan Nasional bagi berdepan PRN, susulan keputusan pada PRU15 lalu.

Ini kerana menurutnya, negeri itu akan dapat dipertahankan pada PRN akan datang sekiranya parti itu kekal mengamalkan pendekatan yang sama dengan rakyat sewaktu menjadi pembangkang, meskipun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“Tahun 2018 masa PAS dan Umno cukup yakin boleh rampas Selangor, kita (PH) menang besar… sebab itu gelombang yang PAS rasa sedang mereka bawa di Selangor ini bagi saya macam kocak air dalam cawan kecil,” katanya.

Rafizi sebaliknya memberi jaminan bahawa gelombang PAS atau dikatakan gelombang hijau itu akan surut berdasarkan prestasi yang akan ditonjolkan oleh kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab menjaga soal ekonomi negara dan rakyat.

“PN nak enjoy sangat biarlah, biarlah dua tiga bulan ini... Pandangan saya kita akan pertahankan Selangor dengan selesa, selepas ini Insya-Allah kita kejutkan orang ramai terutama geng PAS yang seronok sekarang ini.

"Dengan PAS ni kita tahu perangai dia, kalau kita lihat PAS di media sosial ini tahap keyakinan mereka ini tinggi, macam dia kalahkan Perancis main bola, kekuatan dan kemahiran tidak seberapa di media sosial tetapi dia macam hendak ambil alih Malaysia," katanya dalam ucapannya di hadapan ratusan perwakilan PKR Selangor.

Katanya, selepas menampuk kuasa di Selangor selama empat penggal, PH telah kenal dengan citarasa pengundi di negeri itu yang tidak sukakan pemimpin yang terlalu banyak protokol dan bergantung kepada kekuatan kerajaan ketika berkempen.

“Kita selalu dilihat sebagai parti yang dekat dengan rakyat. Kalau kita kekalkan, kita bukan saja pertahankan Selangor, tapi boleh menang bergaya daripada yang disangkakan,” katanya.

Tiada ulasan: