"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kesan buruk menanti jika PKR tak pecat Tian Chua

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat ahli PKR akan beranggapan parti itu tidak serius dan tegas sekiranya Tian Chua tidak dipecat selepas bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada PRU15.

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata ia mungkin mengakibatkan ada lagi ahli parti yang mengambil langkah seperti itu kerana mempunyai anggapan sedemikian.

“Kadang-kala, parti menerima impak sekiranya yang dipecat itu adalah mereka yang mempunyai pengaruh. Namun, dalam hal ini, Tian Chua telah pun kalah dalam PRU lepas dan ia seharusnya bukan menjadi ancaman kepada PKR,” katanya kepada FMT.

Tian Chua dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang lepas, tanpa persetujuan parti.

Empat lagi yang dipecat ialah Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping) serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Tan Yee Kew ketika dihubungi Bernama, berkata keputusan pemecatan dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang diadakan Sabtu lalu.

Pada PRU15, Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, bertanding di kawasan sama manakala Puah dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding atas tiket Parti Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji dan DUN Chenderiang, kedua-duanya di Perak.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata pemecatan Tian Chua merupakan satu pengajaran politik bagi ahli parti yang lain agar tidak bertindak keterlaluan dengan membelakangkan semangat kerjasama di dalam parti.

Beliau berkata sebagai seorang yang dikenali sebagai “old timer” di dalam perjuangan parti, Tian Chua seharusnya berusaha membantu calon Parlimen Batu sewaktu tempoh berkempen.

“Bukannya bertindak semberono dengan melawan calon PKR tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Kartini Aboo Talib daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mempunyai pandangan yang berbeza berhubung pemecatan Tian Chua dan menyifatkannya sebagai satu episod duka buat PKR dan penyokong parti itu.

Beliau berkata Tian Chua dianggap berbeza berbanding orang Cina yang pro DAP.

“Tian Chua mempunyai prinsip dan idealisme. Beliau dipecat kerana ingkar arahan presiden yang tidak membenarkan beliau bertanding dalam PRU15,” katanya.

Tiada ulasan: