"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beri rakan bergambar dengan senjata, anggota polis disiasat

FMT Reporters
Gambar tular menunjukkan seorang lelaki memegang senjata milik anggota polis. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA: Polis Johor menyiasat seorang anggotanya kerana membenarkan rakan bergambar sambil memegang senjata api miliknya sebelum memuat naik gambar itu di media sosial.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata gambar itu yang kini tular di media sosial didapati dirakam di depan Balai Polis Taman Johor Jaya, pada 2.43 pagi Rabu lalu, lapor Sinar Harian.

“Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.

“Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5,” katanya yang memberitahu anggota itu bertugas di pos pengawal ketika gambar diambil.

Katanya, siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan seorang lagi individu awam yang merakam gambar itu adalah rakan dan semuanya berusia 25 tahun

“Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ia dimuat naik ke media sosial sehingga menjadi tular,” katanya.

Menurutnya, tindakan anggota polis itu yang membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

“Siasatan lanjut dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Seri Alam.

“Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Tiada ulasan: