"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persidangan khas DUN Sabah akan diadakan esok

MALAYSIADATELINE

Di sebalik politik yang bergelora di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah diingatkan supaya bersifat matang bagi memastikan dua usul berkaitan pemindahan kuasa gas dan tenaga kepada Sabah diluluskan pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri, esok.

Menteri Kewangan Kedua negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dua usul itu ialah mengenai penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang akan menjadi pihak berkuasa menguruskan bekalan berkenaan serta perkara berkaitan.

Sehubungan itu, Masidi berkata, kematangan dalam kalangan ADUN Sabah juga amat diperlukan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah lama menjadi aspirasi rakyat dan negeri itu.

“Persidangan ini dalam usaha melaksanakan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat bagi mengurus dua usul atau enakmen yang diharap dapat diluluskan esok kerana ia ada kaitan dengan memberi autonomi serta kuasa kepada Sabah untuk mengurus hal ehwalnya sendiri.

“Esok adalah permulaan kepada melihat hasil usaha perundingan antara kerajaan Pusat dan Sabah dalam memberi kuasa lebih kepada kerajaan negeri sesuai dengan semangat dan hasrat MA63,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan kira-kira dua jam antara Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan ADUN daripada blok kerajaan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, hari ini.

Pada 21 Dis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghormati MA63.

Masidi, yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menegaskan perjumpaan antara Ketua Menteri dan ADUN itu tidak ada sebarang kaitan dengan pergolakan politik di Sabah, sebaliknya hanya perbincangan tentang persidangan khas berkenaan.

“Tiada (kaitan dengan isu politik). Hari ini, kami memutuskan untuk bercuti daripada politik. (Mengenai rombakan Kabinet Sabah) pun kami tidak bincang. Kadang-kadang kita harus menumpukan perhatian kepada kerja dan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat,” jelasnya.

Mengulas lawatan Anwar ke Sabah hari ini, Masidi berkata, kerajaan negeri menghormati hasrat beliau untuk datang bertemu wakil rakyat Sabah.

“Kita tiada apa-apa jangkaan. Kita hormat dan ingin merakam setinggi terima kasih kerana walaupun dalam kesibukan dari Jakarta tetapi beliau sanggup datang sekejap ke Sabah untuk berjumpa dengan semua wakil rakyat,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Sabah dijadualkan hari ini bagi membincangkan isu politik negeri ini sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia.

— BERNAMA

Tiada ulasan: