"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Berpuluh tahun Umno tentang DAP, sokongan Melayu tetap merosot'

Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang & Ng Xiang Yi

Sokongan orang Melayu terhadap Umno tetap merosot meskipun berpuluh tahun parti itu bertentangan dengan DAP, kata Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu menegaskan kerjasama parti itu dengan DAP dan sekali gus PH adalah bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Pada masa sama, katanya, Umno kekal bersama BN dan bukannya menyertai PH

Berucap bagi merasmikan persidangan tahunan sayap-sayap Umno di Kuala Lumpur malam ini, Mohamad berkata mereka memang tahu siapa DAP, PKR dan Amanah yang menjadi komponen PH.

Dalam keadaan begitulah, kata menteri pertahanan berkenaan, Umno membuat keputusan bekerjasama untuk membentuk kerajaan bersama PH berdasarkan penelitian yang paling sesuai.

Ia juga, kata Mohamad, membolehkan Umno menguruskan perbezaan.

"Biar saya tegaskan di sini juga, bahawa selama berpuluh tahun, kita bertentangan dengan DAP. Semua orang tahu itu.

"Tetapi, adakah dengan pendirian sedemikian orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita? Dan menjadikan kita semakin kuat dan semakin berpengaruh dengan pendirian sedemikian?

"Keputusan beberapa pilihan raya umum lepas, jelas menampakkan bahawa, disebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat, malah merosot," katanya.

Mohamad berkata pilihan itu adalah lebih baik berbanding bekerjasama dengan PN yang dianggotai parti bertujuan untuk membunuh Umno.

Katanya Mohamad lagi, faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak Umno ternyata bukanlah pendirian parti itu terhadap DAP selama ini.

"Sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan kita meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan bangsa dapat diperjuangkan dengan lebih baik dengan Umno. Termasuklah (dengan cara) kerajaan yang kita pimpin itu bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa.

"Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu (kepada Umno) ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita, bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini," katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu lagi, sokongan masyarakat bukan Melayu merosot dengan amat drastik semenjak beberapa pilihan raya umum lalu.

Sehingga dalam keadaan tertentu, kata Mohamad, Umno tewas kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada mereka.

"Telah lama kita abaikan undi golongan bukan Melayu ini," tambahnya.

Tiada ulasan: