"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maruah kita macam dipijak-pijak'

Firdaus Hashim, Syazwan Msar dan Zulkarnain Azman
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Apa sudah jadi dengan arena sukan tanah air terutama membabitkan tiga sukan utama menjadi kegilaan rakyat di Malaysia iaitu bola sepak, badminton dan hoki apabila dimalukan pada temasya Sukan Sea di Kemboja ketika ini.

Paling mendukacitakan peminat sukan tempatan sudah tentunya kegagalan skuad bola sepak lelaki bawah 22 (B-22) tahun negara yang tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan, sekali gus gagal mencapai sasaran layak ke final buat kali kesembilan dalam sejarah penyertaan pasukan di temasya dwitahunan itu.

Kelukaan itu kemudiannya ditambah 'garam' apabila skuad hoki dalam dewan pula tumbang mengejut di pentas final di kala Malaysia dianggap sebagai kuasa hoki dunia, malah berada dalam kedudukan ranking ke-10 dengan pencapaian sukan hoki yang terbaik di semua peringkat.

Benarlah matahari tidak selalunya cerah apabila sukan hoki lelaki dan wanita dalam dewan tumbang di final di tangan negara yang baru berjinak-jinak dengan sukan hoki iaitu Indonesia yang menewaskan pasukan lelaki Malaysia menerusi penentuan shoot-out selepas terikat 3-3 dalam masa sebenar.

Virus sama turut melekat kepada pasukan wanita yang tewas 1-2 kepada Thailand menerusi penentuan shoot-out selepas aksi final yang berkesudahan tanpa jaringan.

Kegagalan kedua-dua pasukan itu menyaksikan kontinjen negara terlepas dua pingat emas yang sememangnya 'ditapau' Malaysia dalam dua saingan sebelum ini pada 2017 dan 2019 lalu, manakala temasya 2021 pula tidak dipertandingkan.

Selepas itu, malapetaka menimpa skuad badminton wanita negara apabila tewas mengejut kepada pasukan bukan pilihan, Filipina dalam aksi suku akhir acara berpasukan yang jelas tidak boleh diterima oleh seluruh peminat sukan di Malaysia.

Episod kegagalan demi kegagalan itu juga menimbulkan persoalan tentang penguasaan Malaysia dalam acara yang sering menjadi lubuk emas sebelum ini tampak tidak berlaku di bumi Kemboja.

Pemerhati dan penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika diminta mengulas situasi yang berlaku mengakui kecewa melihat beberapa sukan utama di negara ini gagal menyerlah malah keputusan diraih sebenarnya jauh lebih teruk daripada disasarkan sebelum ke temasya dwitahunan itu.

Jelasnya, badminton paling mengejutkan apabila tewas kepada Filipina yang tidak pernah didengar sebelum ini, tetapi Malaysia pula tumbang biarpun mempunyai program pembangunan yang baik; memiliki fasiliti berkelas tinggi; penganjuran pertandingan tempatan dan luar negara yang begitu banyak; dan mempunyai bajet besar setiap tahun.

"Badminton misalnya sukan sememangnya dikuasai Malaysia setiap edisi dan kita tak pernah gagal bawa pingat malah jauh sekali tewas kepada Filipina. Ini satu tamparan hebat buat kita sebenarnya.

"Saya boleh katakan, maruah kita seperti dipijak-pijak oleh negara lain selepas kekalahan ini dan maruah itu terus tergadai apabila hoki dalam dewan pun tumbang kepada Indonesia yang tak pernah bermain hoki pun sebelum ini.

"Apa dah jadi sebenarnya? Bagi saya ini disebabkan sikap kita sendiri yang suka memperlekehkan kemampuan negara lain. Ini bukan soal pasukan lawan, tapi masalah ini timbul daripada sikap over confident hingga maruah negara diperlekehkan orang luar," katanya kepada Arena Metro.

Ditanya adakah kerana kontinjen negara menghantar ramai atlet muda hingga menyebabkan Malaysia kalah dalam beberapa acara, Pekan tidak bersetuju dan menyifatkan ia alasan tidak berfakta.

"Cuba tengok pasukan renang Singapura, mereka menang pingat emas di kolam renang kalau tak silap saya sebanyak 22 emas daripada 39 emas dipertandingkan. Itu menunjukkan Singapura kuasai hampir separuh emas, dan kebanyakan atlet mereka adalah muda-muda.

"Nak tahu apa beza kita dengan negara lain. Mereka hantar atlet muda untuk menang dan cabar pingat emas tapi kita hantar atlet muda untuk raih pengalaman, jadi ada bezakan perkara itu.

"Ini masalah kita, kononnya nak bagi pendedahan Sukan Sea sebelum ke Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik...tolonglah, kalau Sukan Sea pun tak menang macam mana boleh bermimpi nak menang Asia ataupun Olimpik," katanya.

Ujarnya lagi, sudah tiba masanya 'transformasi pemikiran' dilakukan dengan beliau mencadangkan supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui menterinya membuat perubahan di semua peringkat bermula daripada sekolah hingga ke Institut Pengajian Tinggi dan juga semua Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA).

"Kita kena buat transformasi pemikiran dari KBS dan juga beberapa kementerian lain termasuk di sekolah dan universiti. Ini penting kerana sukan ada rantaian besar bermula dari sekolah, universiti hingga ke persatuan-persatuan sukan.

"Pemikiran kita dalam sukan selalu terkebelakang, ketika negara lain yang dulunya tidak cemerlang dalam sukan seperti Vietnam nampaknya sudah lebih pintar dan konsisten dalam melahirkan, menganjurkan dan memilih pendekatan sesuai untuk memajukan sukan itu sendiri," katanya.

Saingan Sukan Sea Kemboja masih berbaki empat hari sebelum ia dilabuhkan pada 17 Mei ini, dan kehilangan beberapa pingat emas menyaksikan sasaran 40 pingat emas di temasya ini dilihat sukar.

Malah1 kedudukan kontinjen Malaysia di tangga ketujuh di belakang Filipina dan Singapura cukup memalukan, seolah tahap atlet Malaysia ketika ini setaraf Laos, Myanmar dan Timor Leste.

'Sukar dicapai namun ia tidak mustahil'

Kuala Lumpur: Agak sukar tapi tidak mustahil. Itu rumusan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkenaan peluang kontinjen negara untuk mencapai sasaran 40 pingat emas di temasya Sukan Sea Kemboja yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut Norza, meskipun dilihat sukar namun ia tidak bermakna peluang kontinjen negara tipis untuk mencapai sasaran itu memandangkan masih ada masa untuk mereka menuai emas.

Malah, beliau tidak menolak situasi sama seperti berlaku di Sukan Sea Hanoi iaitu mencapai sasaran di saat akhir mungkin akan tercipta di bumi Kemboja.

"Saya rasa susah tapi dia seperti hampir sama seperti situasi di Hanoi. Saya berharap baki hari yang tinggal mereka mampu untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kita mampu menambah lagi pingat emas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Dalam pada itu, Norza berkata, apa yang lebih penting daripada sasaran pingat emas adalah kontinjen negara kali ini lebih berani menyenaraikan atlet muda berbanding edisi terdahulu.

"Lagi penting kita sudah capai objektif iaitu memperkenalkan atlet muda sama ada kita berani atau tidak. Malah terdapat beberapa laporan berita memuji tindakan Malaysia menyenaraikan atlet muda.

"Sukan Sea ini bagi kita untuk memberi pendedahan kepada atlet. Jadi jangan sedih atau gundah-gulana kerana kekalahan mungkin dari keseluruhan kita kena lihat perkara ini dari sudut yang besar," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut memuji beberapa sukan seperti olahraga yang berjaya mempamerkan persembahan baik berbanding edisi terdahulu di Hanoi.

Jelasnya sudah tiba masanya, Malaysia memfokuskan kepada sukan yang lebih banyak menawarkan pingat emas seperti olahraga dan renang ketika menyertai temasya sukan.

"Saya rasa skuad olahraga mempamerkan peningkatan di temasya kali ini. Kali terakhir di Hanoi mereka tidak berada pada prestasi sebenar dan kali ini kita lihat atlet muda mereka menyumbang pingat emas.

"Bagaimanapun untuk renang, ia berbeza. Jadi saya harap Asum (Renang Malaysia) boleh melakukan sesuatu selepas ini. Hal ini kerana bila kita menyertai temasya sukan banyak emas akan hadir dari renang dan olahraga," ujarnya.

Mampu cari baki 12 pingat emas?

Phnom Penh: Mana lagi nak 'sebat' pingat emas? Persoalan terbabit timbul kerana Sukan Sea Kemboja hanya berbaki empat hari lagi sebelum menutup tirainya, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan semua pihak untuk mencari baki 12 pingat emas bagi melengkapkan 40 sasaran ditetapkan di temasya dwitahunan kali ke-32 itu.

Berdasarkan kepada situasi terkini hanya tinggal beberapa acara lagi yang boleh dikatakan memberi 'talian hayat' kepada kontinjen negara untuk meraih pingat.

Ketika ini, antara sukan masih dipertandingkan adalah badminton individu, hoki, taekwondo, kriket, golf, bola keranjang, sepak takraw, catur xianqi, finsswimming, petanque, lawan pedang, pingpong, kickboxing, tinju, e-Sukan, jetski dan angkat berat.

Namun jika mencongak kembali berdasarkan baki sukan masih dipertandingkan itu menyaksikan kontinjen negara agak sukar untuk memperoleh sekurang-kurangnya 10 emas memandangkan acara itu bukanlah 'makanan' Malaysia.

Walaupun sudah melepasi angka separuh pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, beberapa acara lubuk emas kontinjen negara seperti olahraga, renang, terjun, silat dan karate sudah pun berakhir.

Situasi tersebut sekali gus memberi bayangan kemungkinan besar kita akan menamatkan saingan di bawah kontinjen Singapura buat kali kedua temasya Sukan Sea berturut-turut selepas edisi 2021 di Vietnam tahun lalu.

Menurut ketua kontinjen (CDM) Sukan Sea ke-32 negara, Datuk Mohd Nasir Ali mengakui pasukan negara mengharungi situasi sukar ketika ini walaupun sudah mencapai sasaran awal melepasi angkat 20 pingat emas.

Beliau berkata, ketika ini Malaysia mengharapkan beberapa sukan mampu membuat kejutan dengan menambah senarai pungutan pingat emas negara ketika saingan Sukan Sea Kemboja berbaki empat hari saja lagi.

"Kita perlu mencari sekurang-kurangnya 12 emas untuk mencapai sasaran dan ketikan ini kontinjen negara sudah di tengah jalan dan boleh dikatakan masih lagi jauh untuk mengharungi saingan di Sukan Sea ini.

"Secara peribadi, saya akui banyak sasaran kita sudah terlepas dengan beberapa acara tidak menepati jangkaan. Apa yang pasti, saya kekal positif kerana ada beberapa kejutan yang sudah ditampilkan oleh kontinjen Malaysia kali ini dan mereka 'topup' (ganti) pingat emas yang hilang sebelum ini.

"Seperti yang kita maklumkan sebelum berlepas sebelum ini, negara sudah kehilangan 18 pingat emas untuk dipertahankan selepas acara edisi 2021 di Vietnam tidak dipertandingkan. Masih ada berbaki beberapa hari lagi saya percaya apa sahaja boleh berlaku," katanya.

Mengikut rekod, pada temasya di Hanoi, Malaysia mengakhiri saingan di tempat keenam menerusi 39 emas 45 perak dan 90 gangsa iaitu jauh ketinggalan di belakang Singapura yang membawa pulang 47 emas 46 perak dan 71 gangsa.

Tiada ulasan: