"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar hargai sikap MB Kelantan berbanding 'Sanusi sombong'

Haspaizi Zain, Raveena Nagotra & Alyaa Alhadjri

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob untuk berunding dengan baik bagi menyelesaikan isu air di negeri itu.

Berbanding Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor yang disifatkan Anwar sebagai ‘angkuh, sombong dan hanya pandai cakap berkobar-kobar’.

"Dia lain, menteri besar Kelantan sedia runding dengan baik (selesaikan isu air Kelantan). Bila orang sedia runding dengan baik, kita dua kali lebih baik.

"Orang angkuh sombong, tinggallah kamu dengan keangkuhan dan sombong kamu," katanya merujuk kepada menteri besar Kedah.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama dua Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta pemimpin parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Oleh itu, Anwar berkata dia mahukan isu air di Kelantan diselesaikan tahun ini juga meskipun memakan kos sehingga mencecah berbilion ringgit.

Selain itu katanya, dia akan turut memanggil Ketua Menteri Sabah, Muhammad Hajiji Md Noor dalam masa terdekat ini bagi membincangkan untuk menyelesaikan masalah air di Sabah.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan kepada pemimpin parti politik Sabah dan Sarawak bahawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diselesaikan segera.

Katanya, dia telah memberi mandat sepenuhnya kepada Fadillah untuk melaksanakan apa saja agenda yang terkandung dalam MA63.

Jelasnya, isu MA63 bukanlah perkara baru, namun ia hak yang telah dinafikan sejak puluhan tahun lalu.

"Saya beri mandat penuh kepada timbalan perdana menteri Fadillah, lakukan apa yang sepatutnya.

"Saya tak mahu (bila) ke Sabah dan Sarawak, orang bangkit lagi tentang MA63.

"Apa erti kemerdekaan jika rakyat tidak dibebaskan," katanya lagi.

Mengulas mengenai keutuhan Kerajaan Perpaduan, Anwar menyatakan keyakinan kerajaan pimpinannya akan kekal sehingga tamat penggal.

Katanya, meski cuba digugat oleh pihak tidak bertanggungjawab, namun sokongan ahli parlimen kerajaan tidak tergugat.

Tiada ulasan: