"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tak kena selera ajak gocoh, PAS Kelantan serupo sekala'

N Faizal Ghazali

Pemuda Umno Kelantan ‘memulangkan paku buah keras’ terhadap kenyataan rakan sejawatan daripada PAS yang mengkritik lawatan Perdana Menteri Anwar Anwar Ibrahim ke negeri itu baru-baru hanya sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata Mohamad Kamal Mohamed tidak perlu palitkan keseluruhan rakyat Kelantan dengan kegelojohan untuk terus memerintah dengan cara memesongkan fikiran rakyat.

“Terima Kasih diucapkan kepada saudara Mohamad Kamal, yang baru sahaja mengakui kontrak federalisme seperti sediakala, tidak pernah dilanggar kerajaan persekutuan.

“Jika kontrak federalisme tidak dilanggar, apa masalah sebenar PAS Kelantan? Kelantan adalah Kelantan, manakala PAS adalah PAS yang berperangai serupa ‘sekala’ dan sentiasa mencari isu mengheret pemikiran rakyat untuk turut sama berfikiran seperti mereka.

“Kerajaan persekutuan sejak BN memerintah tidak pernah meminggirkan Kelantan, yang sengaja menciptakan isu dipinggirkan adalah PAS.

“Sangat banyak bukti di segenap ceruk pelusuk negeri Kelantan, ada pembangunan daripada kerajaan persekutuan dalam kerangka federalisme mahupun pembangunan tambahan luar kerangka federalisme,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Mohamad Kamal menyifatkan terma kerjasama yang ditekankan perdana menteri semasa ucapan di Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kota Bharu Jumaat lalu bukanlah sesuatu yang baru.

Bahkan, katanya ia adalah kontrak federalisme yang memayungi Perlembagaan Malaysia.

Justeru ucapan Anwar tersebut boleh dilihat hanya sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

Sementara itu, Mohd Azmawi berkata anak Kelantan di perantauan yang berkhidmat dengan kerajaan persekutuan juga tidak pernah disekat atau didiskriminasi dan terbukti ramai yang memegang jawatan penting dalam pentadbiran persekutuan pasti tidak mahu melihat Kelantan ketinggalan.

“Takkanlah PAS Kelantan mahu juga menyatakan kumpulan pelaksana yang terdiri daripada anak Kelantan ini di dalam perkhidmatan awam ini mahu melihat Kelantan ketinggalan?

“Semak di dalam pentadbiran kerajaan kegeri sendiri terlebih dahulu, yang ada dalam pentadbiran Kelantan itu ramai dalam kalangan ‘anak-beranak’ kepimpinan PAS yang secara tidak sedar menghalang kemajuan Kelantan itu sendiri,” katanya.

Dia turut menyelar kenyataan Mohamad Kamal (gambar, atas) yang didakwa bersikap ‘kekampungan’ dengan mengkritik penegasan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung penyelesaian isu bekalan air di Kelantan.

Mohd Azmawi berkata menteri itu bukan berkonfrantasi dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), sebaliknya dia nampak kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran agensi terbabit.

“Berhentilah daripada menunjuk lagak ‘kekampungan’ tak kena selera kita sikit ajak ‘gocoh’.

“Tindakan menteri (Nik Nazmi) sama seperti Umno Kelantan tuntut semasa AKSB bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Migrasi Air dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Umno Kelantan ketika itu mahu pengurusan AKSB dirombak sepenuhnya kerana terbukti pengurusan yang sama telah menyumbang kepada kegagalan AKSB dalam membekalkan air bersih kepada rakyat.

“Ambo rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang, Nik Nazmi juga sama, kami hanya mahu melihat Kelantan yang lebih makmur dan berjaya.

“Sudah 33 tahun PAS Kelantan mentadbir, alasan masih sama ‘dianaktirikan’ sedangkan semasa ramai pemimpin PAS Kelantan menjadi menteri tiada apa perubahan besar berlaku termasuk dalam isu royalti petroleum,” katanya.

Dalam perkembangan sama Pengarah Pilihan Raya Amanah Kelantan Ariff Bashiruddin Rusli turut membidas kenyataan Mohamad Kamal yang disifatkan bersikap seperti ‘samseng jalanan’.

Pimpinan makin mundur

Adalah malang katanya, apabila Pemuda PAS Kelantan masih bersikap seperti samseng jalanan, dengan memperkecilkan usaha pihak kerajaan persekutuan, untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang gagal diselesaikan kerajaan negeri selepas sekian lama PAS memerintah Kelantan.

“Jika begini sikap yang dizahirkan oleh calon pimpinan sebuah parti yang mengaku Islam, maka kita dapat simpulkan bahawa PAS hanya melahirkan generasi pimpinan yang semakin mundur ke belakang pemikirannya.

“Landskap politik negara di era Madani ini sudah berubah, dengan semangat perpaduan dan toleransi menjadi tonggak utama, demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan dalam negara ini kembali dipulihkan.

“Amalan politik permusuhan yang keras, hanya menatijahkan situasi di Kelantan tidak semakin baik, bahkan hanya kekal ‘serupa sekala’, tiada perubahan yang boleh memanfaatkan rakyat negeri ini,” katanya ketika di hubungi Malaysiakini.

Tiada ulasan: