"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki disyaki lempar bom diburu polis

FMT Reporters
Tangkap layar video tular menunjukkan objek seperti bom dilempar di sebuah restoran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki diburu polis selepas videonya melempar objek seperti bom di sebuah restoran di kawasan Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, tular di media sosial.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4.15 pagi kelmarin.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik premis yang juga lelaki tempatan pada 5.27 pagi.

“Pengadu berusia 35 tahun memaklumkan mendengar bunyi letupan yang kuat sehingga beberapa cermin tingkap premisnya pecah.

“Hasil semakan di kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta berwarna gelap berhenti di pagar premis.

“Kelihatan suspek keluar dari kenderaan dan melempar satu objek ke tempat kejadian, “katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

Raub berkata kejadian itu menyebabkan empat cermin tingkap pecah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan suspek adalah seorang lelaki yang tidak dikenal pasti.

“Polis masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 kanun keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau pegawai penyiasat Inspektor Nik Mohamad Amirul Fikrie 011-35202900, “katanya.

Terdahulu, tular dua video masing-masing berdurasi satu minit memaparkan tindakan lelaki terbabit yang membaling objek sebelum berlaku letupan.

Tiada ulasan: