"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lokman Adam: KJ mungkin terima tawaran PN jika jadi calon MB

K. Parkaran

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mungkin menerima tawaran Muhyiddin Yassin menyertai Bersatu, jika beliau dinamakan sebagai calon menteri besar oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang, kata seorang pemimpin Umno.

Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Adam berkata, perkara ini mungkin dituntut bekas menteri kesihatan itu “jika tidak sabar dengan keadaannya sekarang”.

“Tak mustahil Khairy diterima semula (oleh Umno),” kata Lokman dalam sesi soal jawab secara langsung di Facebook Live semalam.

“(Namun) kalau gelojoh dan tak sabar, maka beliau akan terima pelawaan Muhyiddin jadi calon PN, calon menteri besar … tidak mustahil.”

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di negeri mana Khairy akan dicalonkan sebagai menteri besar, tetapi kemungkinannya adalah Selangor dan Negeri Sembilan.

Lokman, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, BN dan PH tidak harus leka kerana kerajaan perpaduan “tidak selamat” ketika ini.

“Saya nak beritahu PH, jangan selesa sangat … kita tidak kuat langsung (sekarang ini),” katanya.

“Bukan perkara mudah untuk kita dapat sokongan, khususnya orang Melayu … apatah lagi kebelakangan ini, banyak bangkit isu yang mudah diputar belit oleh PN untuk mereka peroleh kelebihan.”

Semalam, Muhyiddin menawarkan Khairy kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertingginya, jika bekas pemimpin Umno itu memutuskan untuk menyertai Bersatu.

Pengerusi PN itu dilaporkan berkata, terdapat dua kekosongan dalam MPT Bersatu dan beliau sudah berbincang dengan pemimpin Bersatu lain.

Menjawab soalan penonton sama ada Khairy akan mengikut jejak Dr Mahathir Mohamad, yang dipecat Umno pada 1960-an, tetapi diterima semula sebelum menjadi perdana menteri, Lokman tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau Khairy betul-betul bijaksana, beliau akan bersabar, tunggu suatu hari nanti dapat kembali ke pangkuan Umno.

“Saya rasa KJ bukanlah orang yang tak boleh berfikir…beliau masih boleh berfikir dengan waras. Saya rasa beliau pun tahu, Umno masih lagi pilihan utamanya.

“(Saya) juga pernah dibuang oleh Zahid Hamidi, tetapi diambil balik (menyertai Umno) oleh beliau.”

Ditanya mengapa BN memilih untuk berganding bahu dengan PH dan bukannya PN selepas PRU15, Lokman berkata, pengalaman Umno selepas parti itu membantu Muhyiddin menjadi perdana menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 masih segar dalam ingatan mereka.

“Muhyiddin mula membuli kami selepas memegang jawatan tertinggi. Beliau dan parti itu tidak menghargai hakikat Umno bersetuju menyokongnya, walaupun Bersatu hanya mempunyai 32 kerusi (ketika itu).

“Malah, beliau menggunakan kuasanya untuk memecahbelahkan Umno dengan memberikan ganjaran kepada beberapa pemimpinnya dan menarik mereka menyertai Bersatu,” katanya.

Tiada ulasan: