"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betulkah penyokong, akar umbi BN masih ‘waspada’ PH?

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Penyokong dan akar umbi Barisan Nasional (BN) masih berwaspada terhadap Pakatan Harapan (PH) dan mungkin tidak mahu dikaitkan dengan logo gabungan berkenaan pada PRN akan datang, kata penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, penggunaan logo PH akan memberi bayangan BN dikawal PH, bukannya dua gabungan itu memimpin negara bersama.

“Mereka (BN) mahu menggunakan logo sendiri kerana bimbang penyokong Umno masih belum menerima kerajaan perpaduan, dan jika menggunakan logo PH, mereka tidak akan mendapat undi,” katanya kepada FMT.

“Di kawasan luar bandar, orang Melayu selalunya mencari lambang dacing kerana ia memang dikenali sebagai logo Melayu.”

Semalam, Ketua Pemuda Umno Selangor, Imran Tamrin dilaporkan berkata, BN negeri itu belum sedia menggunakan logo PH pada PRN kerana kerjasama dua gabungan itu masih baharu dan kesukaran dijangka di peringkat jentera, jika BN memilih logo gabungan lain.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu logo diwujudkan bagi kegunaan PRN yang menggabungkan PH dan BN.

Bagaimanapun, Chin berkata, dua gabungan itu perlu mendaftar sebagai gabungan baharu bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum menggunakan logo baharu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, penyokong PH tetap akan menunjukkan sokongan untuk BN, jika lambang dacing digunakan dalam PRN, tetapi mungkin sebaliknya bagi penyokong BN.

“Ini bukan jalan dua hala kerana kemarahan akar umbi Umno terhadap PH, khususnya DAP, masih kuat.

“Akar umbi Umno masih ragu-ragu bekerjasama secara rapat dengan PH. BN sepatutnya kekal menggunakan logonya, bukan saja di Selangor, malah di lima negeri lain.”

Katanya, tiada keperluan untuk logo khas bagi mewakili kerajaan perpaduan kerana hanya dua parti itu yang aktif di enam negeri berkenaan.

Kerajaan perpaduan merangkumi PH, BN serta dua gabungan pemerintah di Malaysia Timur, iaitu Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak, dengan sokongan Warisan serta Muda, selain parti dan wakil bebas lain.

Tiada ulasan: