"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mudir pusat tahfiz didakwa lakukan amang seksual, seks luar tabii tiga pelajar

HADI AB. MANAP
TERTUDUH yang juga warga Singapura mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
 
MELAKA: Seorang warga Singapura yang juga mudir sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak di sini, didakwa dengan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mengikut tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya yang masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan dalam bilik di rumah guru pusat tahfiz berkenaan pada 20 Julai 2022 dan Mac 2023.

Tertuduh yang juga pengasas pusat tahfiz terlibat boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama di lokasi sama pada Mac 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam Fahmy Sulaiman.

Pembelaan merayu jaminan dibenarkan
dengan alasan anak guamnya menanggung dua isteri dan enam anak berusia setahun setengah sehingga 13 tahun.

Darmafikri kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi dua pertuduhan dihadapannya manakala Mohd. Sabri tidak membenarkan jaminan bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pada 13 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, mudir dan warden asrama sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak yang dipercayai terlibat dengan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak direman empat hari.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin sehingga semalam terhadap suspek yang berumur 40 dan 36 tahun.

Kedua-dua tertuduh yang juga adik beradik disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, susulan enam laporan dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz berkenaan. – UTUSAN

Tiada ulasan: