"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN seolah sudah putus asa raih undi bukan Melayu

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Langkah beberapa pemimpin Perikatan Nasional termasuk Presiden PAS, Hadi Awang, menandatangani Proklamasi Orang Melayu seolah menunjukkan gabungan itu sudah ‘berputus asa’ meraih undi orang bukan Melayu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara percaya PN sanggup memainkan isu-isu Melayu dan Islam kerana menyedari tidak ramai pengundi bukan Melayu akan menyokongnya, sepertimana yang ditunjukkan pada PRU15.

“Proklamasi Orang Melayu dapat meyakinkan pengundi Melayu terutama di enam negeri yang akan mengadakan PRN. Bagi menarik pengundi bukan Melayu, PN seolah-olah sudah ‘give up’,” katanya kepada FMT.

Isu melibatkan orang Melayu walaupun sudah berzaman diperkatakan oleh pencetus proklamasi, Dr Mahathir Mohamad, umpama ‘ganja’ menjelang pilihan raya, kata Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Isu dasar dan ekonomi rakyat yang masih belum dapat diselesaikan oleh kerajaan Anwar Ibrahim juga dijangka memberi kelebihan untuk orang ramai tertarik dengan ‘gerakan’ Mahathir,” katanya.

Beliau meramalkan Proklamasi Orang Melayu itu akan membantu PAS mengukuhkan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang tidak menyokong ‘kerajaan perpaduan’.

“Kawasan-kawasan yang bukan penyokong kerajaan memang akan naikkan bendera PAS. Kalau agresifnya PAS itu, sukar untuk dapat undi bukan Melayu atau Melayu bandar kerana mereka rasa terancam.”

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara percaya tindakan PAS berganding dengan Mahathir hanya akan menjarakkan lagi PN dengan pengundi bukan Melayu.

“Kehilangan besar PAS adalah golongan pengundi bukan Melayu khususnya berada di Sabah dan Sarawak. Dalam kerangka masyarakat majmuk, mereka seharusnya disantuni.”

Tiada ulasan: