"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalah atau menang, Anwar tetap hargai Umno

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mungkin meninggalkan sekutu politik Umno atau Presidennya Ahmad Zahid Hamidi walaupun parti itu gagal mendapatkan undi Melayu dalam enam PRN akan datang, kata seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata keputusan buruk dalam PRN tidak akan mengurangkan relevan Umno atau Zahid kepada Anwar dan tidak akan menyebabkan Anwar, pengerusi Pakatan Harapan, mengutamakan sekutunya yang lain khususnya Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Anwar boleh kekal sebagai perdana menteri walaupun tanpa sokongan Barisan Nasional (BN) kerana beliau boleh bergantung kepada sokongan GPS.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata Anwar masih memerlukan Umno dan Zahid.

“GPS hanya menyediakan 23 kerusi, potensi Umno untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang melebihi angka itu,” katanya kepada FMT.

Terdapat 31 kerusi parlimen di Sarawak dan walaupun GPS menguasai negeri itu, kerusi bandar secara tradisinya adalah kubu pembangkang.

Awang Azman juga berkata Anwar lebih rapat dengan Zahid berbanding Pengerusi GPS Abang Johari Openg, kerana mereka pernah bersama dalam Umno sebelum Anwar dipecat.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, berkata Umno masih mempunyai sokongan kuat orang Melayu, dan inilah sebabnya Anwar tidak akan berusaha untuk menggantikan parti itu walaupun Umno menunjukkan prestasi buruk dalam PRN.

“PKR juga mempunyai keupayaan untuk menarik undi Melayu tetapi pada masa ini, Umno adalah pertaruhan terbaik untuk Anwar meraih sokongan Melayu,” katanya.

Jeniri juga berkata beliau tidak percaya kedudukan Zahid dalam Umno atau kerajaan akan terancam sekiranya parti itu gagal sokongan atau kerusi.

“Kedudukan Zahid (sebagai presiden Umno) tidak akan terjejas selagi Ahli Parlimen Umno tidak menarik balik sokongan mereka dan pemilihan Umno baru-baru ini menunjukkan keadaan itu tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak ada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, hampir semua pemegang jawatan tertinggi parti itu sehaluan dengan Zahid.

Tiada ulasan: