"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dilema PAS bergantung pada parti Melayu

Fakhrurrazi Rashid

Persaingan politik kini membuka ruang kepada peralihan dominasi parti politik Melayu. PRU ke-15 memberi mesej bahawa pengundi menganggap Umno-BN bukan lagi pelindung sejati buat Melayu dan Islam.

Kemunculan PN yang memperoleh kerusi Melayu terbanyak berbanding Umno menunjukkan peralihan kuasa politik Melayu hampir lengkap kepada bentuk baru.

Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi bakal memberi gambaran baru parti politik yang popular dalam kalangan orang Melayu.

Persoalannya, parti Melayu yang mana satu?

Trend pengundi Melayu tidak banyak berubah. Sejak PRU ke-12 (2008) sehingga PRU ke-15 (2022), pola pengundi Melayu sentiasa bertentangan dengan isu-isu nasional. Kalau berubah pun, hanya beberapa peratus di kerusi-kerusi Melayu dan kerusi marginal.

Tiga PRU sebelum ini menunjukkan berlakunya perubahan dominasi parti Melayu lama kepada parti Melayu yang lain. Parti Melayu dan Islam yang setakat ini konsisten dan mempunyai momentum dalam PRU adalah PAS.

Pertukaran rakan gabungan PAS dari Pakatan Rakyat (PR), Muafakat Nasional (MN) pada 2019, dan PN tidak menjejaskan reputasi parti itu dalam pilihan raya.

Malah, PAS menjadi rakan penting dalam memperkukuh mobalisasi sesebuah gabungan parti.

Masih ada penyokong asas

Dari sudut yang berbeza, PAS masih memenangi kerusi parlimen di Pantai Timur dan Utara, selain berjaya merampas semula Terengganu daripada Umno-BN ketika bertanding secara solo pada PRU ke-14.

Pada PRU ke-15, PAS memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat (49) diikuti DAP (40).

Di Perak dan Pahang, PAS hampir menubuhkan kerajaan. Buat pertama kali juga, PAS dan PN berjaya membentuk kerajaan Perlis setelah berpuluh tahun diperintah Umno-BN.

Fenomena gelombang hijau secara tersurat dan tersirat hanya bermaksud pertukaran dominasi parti politik Melayu baru di era ini.

Namun, kekuatan PAS menjadi parti popular Melayu masih belum terjawab dan teruji, lebih-lebih lagi dalam PRN.

Kemenangan Umno-BN dalam PRN Melaka dan Johor dengan majoriti besar menunjukkan parti itu masih ada penyokong asas meskipun PAS dan PN mengikuti rapat di belakang.

Sekiranya momentum Umno-BN diteruskan, ia akan menimbulkan lagi persoalan tentang kekuatan PAS dalam kalangan pengundi Melayu.

Umno masih mempunyai daya tarik kepada orang Melayu untuk menyokong semula parti itu. Imej Umno yang memiliki pengalaman mentadbir negara adalah tawaran terbaik kepada orang Melayu.

Sebahagian besar orang Melayu masih mempercayai konsep kerajaan Malaysia bersifat majmuk dan mampu memberi memberi pulangan ekonomi lumayan buat mereka.

Pengundi Melayu juga masih memandang tinggi pemimpin Melayu berkarisma dan boleh diterima semua masyarakat serta komuniti dunia. Perkara ini masih lagi wujud dalam kerangka Umno.

Cuma gemar jadi kerajaan

Namun, isu integriti yang Umno hadapi telah meminggirkan pemimpin Melayu terbabit.

PAS pula nampaknya masih tidak meyakinkan untuk menampilkan pemimpin boleh yang mentadbir dengan jawatan utama waima bagi mengisi tempat sebagai timbalan perdana menteri, apa lagi perdana menteri.

Ini terbukti apabila tidak ada seorang pun pemimpin PAS diangkat sebagai menteri kanan sewaktu mereka berada dalam kerajaan selama 33 bulan di bawah dua perdana menteri.

Jika menjadi kerajaan sekalipun, PAS sukar keluar dari zon selesa untuk mengangkat isu-isu besar selain agama dan kaum.

Disebabkan ketandusan imej pemimpin birokrat dan moderat, PAS terpaksa bergantung kepada parti Melayu seperti Bersatu dan Umno menjadi pemimpin kanan dalam kerajaan.

Dilema PAS ini sebenarnya ada persamaan dengan apa dihadapi DAP.

Pertama, kedua-dua parti sukar menonjolkan pemimpin yang berwibawa menjadi calon perdana menteri. Kedua, PAS dan DAP lebih suka berjiwa kecil untuk menjadi kerajaan.

Mungkin, itulah sindrom parti politik yang memenangi banyak kerusi parlimen di Malaysia - gemar menjadi kerajaan dan bukan pemimpin kerajaan.

Ironinya, PAS dan DAP lebih dominan serta efektif di peringkat kerajaan negeri.

PAS kini tidaklah begitu selesa. Kes rasuah yang membelenggu Bersatu sekarang boleh dibaca sebagai liabiliti buat PAS untuk memasuki gelanggang PRN.

Pertemuan pemimpin PAS dengan Dr Mahathir Mohamad untuk menandatangani Proklamasi Melayu adalah isyarat jelas bahawa Bersatu tidak diharapkan parti itu memiliki pemimpin yang boleh menarik sokongan Melayu yang lebih besar, khususnya di Kedah.

PAS kini terbeban dengan ‘kes mahkamah’ Bersatu yang mencalar integriti parti itu pada pandangan pengundi Melayu.

Justeru apakah kita akan melihat PAS memujuk Mahathir untuk sekurang-kurangnya menyertai Bersatu semula kalau pun tidak melamar bekas perdana menteri itu menjadi ahli PAS?

Ada kemungkinan Bersatu akan ditinggalkan PAS. Sama seperti tindakan PAS meminggirkan Umno ketika Najib Razak dibicarakan, serta selepas mereka mendapat kuasa ekoran Langkah Sheraton.

Beri harapan sederhana

Pun begitu dilema PAS kini tidak bermaksud Umno mampu berdiri gah semula dengan serta-merta. Kedudukan Umno dalam kerajaan kira-kira samalah macam Bersatu dalam PH pada 2018 dulu - lemah, kerdil, tetapi cuba menjadi dominan.

Mesej disampaikan segelintir pemimpin PH yang mahu melihat Umno menang besar dalam PRN adalah suatu bentuk tekanan yang pernah diberikan ke atas Bersatu ketika mereka menghadapi siri pilihan raya kecil selepas PRU ke-14.

Ia adalah persekitaran yang berlaku sebelum Bersatu mengambil lankah meninggalkan PH, kononnya atas alasan Melayu tidak lagi menyokong Putrajaya.

Perlu diakui bahawa pemimpin PH haruslah bersikap realistik. Imej Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi masih belum pulih, manakala sikap parti itu yang sukar berubah tidak akan menarik banyak undi Melayu kepada kerajaan perpaduan.

Daripada mengharapkan Umno menang besar dalam PRN, cukuplah menyasarkan parti itu mampu mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU ke-14, dan pada masa sama menawan kerusi Bersatu bagi pihak kerajaan.

Apa yang lebih penting buat kerajaan perpaduan sekarang ialah memastikan Umno tidak bertindak seperti Bersatu - keluar meninggalkan kerajaan dan membentuk blok Melayu yang lain.

Dalam ayat yang lebih mudah, Umno perlu menunjukkan semangat setia kawan dalam kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal sekarang, biar apa pun keputusan yang mereka capai dalam PRN tidak lama lagi.

Tiada ulasan: