"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hukum perasuah dalam Imigresen, JPN elak bahaya lebih besar

BHonline

Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyiasatan sedang dijalankan terhadap Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung amalan rasuah serta salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh walaupun beliau menyebut ia membabitkan jumlah individu terlalu kecil. Bukan sahaja bidalan Melayu menyebut bahaya tindakan segelintir seperti 'sebab nila setitik, rosak susu sebelanga' atau 'ikan sekambu rosak oleh ikan seekor,' bahkan pepatah Cina pun ada menyebut hal sama, iaitu kuda yang mencelakakan kumpulannya, manakala peribahasa Tamil pula mengingatkan setompok rumput korai mampu merosakkan pemandangan keseluruhan kolam.

Apatah lagi jenayah rasuah dan salah guna kuasa itu pula membabitkan proses mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan sedangkan ia mempunyai makna besar kepada individu atau negara. Ini kerana ia bukan semata-mata pemberian kemudahan, kelebihan dan keistimewaan sebagai warganegara seperti akses kesihatan serta pendidikan, sebaliknya berkaitan taat setia untuk menjadi rakyat bertanggungjawab, iaitu memelihara nama baik negara, patuh kepada Perlembagaan serta undang-undang serta menjunjung Rukun Negara.

Justeru, sebarang kesalahan dalam pemberian sijil warganegara tidak hanya merosakkan seluruh imej pentadbiran kedua-dua jabatan itu, bahkan membuka ruang kepada kemungkinan rasuah membabitkan pemberian kewarganegaraan yang boleh menggadaikan kedaulatan negara dan memperjudikan keselamatan rakyat. Malah, jumlah pelaku walaupun kecil tetap memberikan kesan sangat besar kerana menunjukkan mereka mudah dibeli, termasuk pihak asing yang boleh mengumpan habuan lumayan hingga sanggup menggadaikan maruah negara, termasuk dalam pemberian kewarganegaraan kepada individu tidak sepatutnya.

Pelaku juga 'menghina' usaha ramai warga asing memohon taraf kewarganegaraan dengan prosedur betul walaupun terpaksa bersabar dengan membuat permohonan itu saban tahun. Ini termasuk perjuangan wanita warganegara berkahwin dengan pasangan warga asing mendapatkan hak setara kepada anak mereka seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara selepas melalui jalan perundangan panjang hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan yang membenarkannya akhir tahun lalu.

Oleh itu, kita mahu siasatan menyeluruh supaya kedua-dua jabatan penting ini bersih daripada sebarang elemen rasuah dan salah guna kuasa, sekali gus mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja bersekongkol dalam jenayah itu dengan mengheret mereka ke muka pengadilan yang mengenakan hukuman maksimum kepada individu 'menggadai' maruah negara terbabit. Kita tidak mahu usaha pihak berkuasa terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya siasat sehingga ke akar umbi supaya tidak hanya 'segelintir' daripada penjawat awam dihukum, bahkan dalang sebenar juga didakwa dan dihukum.

Tiada ulasan: