"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib: RM114 juta dirampas milik Umno, bukan saya

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Umno Najib Razak berkata dia diamanahkan dengan RM114 juta oleh parti itu untuk digunakan dalam PRU pada 2018, dan menegaskan amaun itu bukan sebahagian daripada asetnya.

Dalam jawapan kepada permohonan injunksi dikemukakan 1Malaysia Development Bhd, Najib menolak dakwaan bahawa dia hanya mengisytiharkan sebahagian asetnya berhubung perintah pembekuan aset terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu.

RM114 juta dalam bentuk wang tunai dan barangan berharga itu menjadi intipati prosiding pelucuthakkan terhadapnya oleh kerajaan, dan dilaporkan telah dikembalikan kepadanya.

Wang tunai dan barangan berharga itu dirampas dalam serbuan di apartmennya beberapa hari selepas PRU pada 2018.

“Pada setiap masa, RM114 juta itu dipegang secara amanah oleh saya bagi pihak Umno selepas PRU14 yang baru terusai beberapa hari sebelum serbuan di apartmen saya,” katanya.

Najib berkata, sebagai presiden Umno, dia diamanahkan dengan dana itu untuk tujuan digunakan dalam pilihan raya, dan wang itu bukan miliknya.

“Oleh itu, segala ketidakzahiran seperti yang didakwa dinafikan keras-kerasnya,” katanya dalam afidavit jawapan difailkan minggu lalu itu.

Najib berkata, wang itu pada mulanya dikembalikan kepadanya selepas mahkamah menolak permohonan pelucuthakkan oleh pendakwaan pada 2021.

“Selepas penolakan terhadap permohonan Pendakwa Raya tersebut, tiada perintah telah diletakkan terhadap ke manakah wang RM114 juta tersebut harus dikembalikan, dan oleh itu pihak-pihak berkuasa hanya dikehendaki untuk mengembalikan wang tersebut ke tempat di mana ia ditemui (iaitu di kondominium saya),” katanya.

Pada Mei, Pengerusi 1MDB Johan Mahmood mendakwa Najib gagal mendedahkan sepenuhnya asetnya berkait injunksi itu. Dalam afidavit, beliau mendakwa Najib hanya mendedahkan aset dari 2011 hingga 2020, dan tiada maklumat berhubung asetnya dari 2021 hingga 14 Mac 2023.

Katanya, Najib tidak mendedahkan aset dalam akaun banknya mahupun di luar negara.

Dalam afidavitnya, Najib menyenaraikan asetnya berjumlah RM4.49 juta.

Pada 8 Februari tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan injunksi Mareva secara ex-parte oleh 1MDB dan empat yang lain terhadap Najib untuk membekukan asetnya berkait tuntutan USD681 juta syarikat terhadapnya, ketika dia menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Injunksi itu turut mengehadkan pengeluaran wang sehingga RM100,000 dari akaun banknya.

1MDB menamakan 14 bekas pengarah dan pegawai 1MDB lain dalam saman berjumlah USD8 bilion itu.

Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Julai untuk mendengar permohonan Najib bagi mengetepikan injunksi Mareva.

Tiada ulasan: