"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ dedah ditekan Kementerian Kewangan gugur nikotin daripada Akta Racun

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mendedahkan ketika menjadi menteri kesihatan, beliau pernah ditekan oleh Kementerian Kewangan supaya mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

“Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan mengutip cukai,” katanya dalam episod terbaru audio siar “Keluar Sekejap” yang dihoskan bersama Shahril Hamdan.

Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mengutamakan keselamatan dan kesihatan awam berbanding mengutip sedikit cukai.

“Saya dahulu (ketika menjadi menteri) diberi tekanan daripada Kementerian Kewangan (untuk nyah senarai produk nikotin), sebab bila kita nyah senarai, boleh kutip cukai.

“Tetapi sebagai menteri kesihatan, kita kena ‘stand our ground’,” katanya.

“(Kita harus) pastikan kita jaga keselamatan dan kesihatan awam yang (boleh) mengundang kos yang lebih besar sekiranya vape, hisap rokok dibenarkan berleluasa.”

Khairy berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga NGO kesihatan dan kepentingan kanak-kanak mengemukakan permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Malaysian Green Lung Association dan Voice of the Children memfailkan permohonan itu melalui firma guaman, Kanesalingam & Co pada Jumaat, dengan menamakan menteri kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

Khairy menyifatkan tindakan undang-undang itu sesuatu yang “mengejutkan”.

Di Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu, Zaliha berkata, pengecualian cecair nikotin daripada senarai racun ialah “proses wajar” kerajaan bagi membenarkan duti eksais dikenakan ke atas rokok elektronik dan cecair vape mengandungi nikotin.

Tiada ulasan: