"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 maut, 8 hilang dalam tragedi kepala air

FMT Reporters
Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan, berkata pemantauan polis di lokasi kejadian menemukan sebuah kereta Proton Gen2, kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mayat kedua. (Gambar facebook)
PETALING JAYA: Polis mengesahkan dua mangsa maut yang ditemukan selepas kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman merupakan ibu dan anak, manakala lapan individu lagi masih hilang.

Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan, berkata setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.

“Mayat pertama yang ditemukan dikenali Azizah Eiyi, 40, manakala mayat kedua ialah anak mangsa Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11. Identiti mereka disahkan selepas pengecaman mayat dibuat.

“Identiti tujuh lagi mangsa daripada keluarga berkenaan yang berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah dikenal pasti dan butiran mangsa akan dimaklumkan esok,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan pada 6 petang tadi atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi esok.

Petang tadi, 10 individu dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air ketika berkelah di kawasan rekreasi itu.

Dua mayat pertama iaitu Azizah ditemukan orang ramai di tebing sungai berhampiran Kubur Kampung Laut, manakala Zulqarnain dijumpai di atas kayu di tebing sungai menuju ke Tasik Hutan Sungai Air Putih, pada 12.45 tengah hari.

Pemantauan polis di lokasi kejadian turut menemukan sebuah kereta jenis Proton Gen2 dan sebuah motosikal jenis SYM kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mayat kedua.

Tiada ulasan: