"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyamun pecah masuk rumah, libas wanita dengan parang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita cedera di dagu akibat dilibas parang oleh lelaki bertopeng yang memecah masuk rumahnya sebelum melarikan rantai tangan emas dipakainya, dalam kejadian di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 50 tahun itu sedang tidur di biliknya, kira-kira 12.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata laporan berhubung kejadian samun itu diterima Balai Polis Teluk Sengat pada 3.31 petang semalam.

Katanya, suspek yang memecah masuk dengan bersenjatakan parang cuba menekup mangsa sebelum dia jatuh dan berlaku pergelutan.

“Suspek bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa serta mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000,” katanya menerusi kenyataan, lapor Berita Harian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek tampil kepada polis untuk membantu.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek, di talian 017 7183778 atau IPD Kota Tinggi 07 8831222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Tiada ulasan: