"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis trafik terima suapan bulanan didenda RM30,000

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Seorang anggota trafik berpangkat koperal didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM3,600 bagi melindungi sebuah syarikat pengangkutan pada 2017.

Tertuduh, Mohd. Hanif Mohamad Zakri, 37, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pilihan kedua dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin itu telah menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menerima wang bulanan sebanyak RM300 untuk melindungi tiga buah lori milik pengurus terbabit yang melalui kawasan Jasin daripada disaman polis trafik.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan seorang anggota polis dan telah menggunakan jawatan untuk mendapatkan wang secara tidak sah ketika berkhidmat.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman denda yang ringan diberikan dengan alasan anak guamnya kini hanya menjual ikan sejak ditahan kerja dan perlu menanggung isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu dan adik-beradik yang masih belajar.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: