"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas timbalan KM Sabah Ghapur Salleh meninggal dunia

Bernama

Bekas timbalan ketua menteri Sabah dan ahli parlimen Kalabakan Abdul Ghapur Salleh, 80, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada pukul 12.07 tengah malam tadi.

Bekas Setiausaha Umno Kalabakan Mohd Ayaz Khan ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan menyifatkan ahli politik veteran itu sebagai pemimpin yang berjasa.

"Saya dalam perjalanan ke Kota Kinabalu untuk hadir ke pengebumian arwah. Saya difahamkan arwah mempunyai pelbagai penyakit antaranya masalah buah pinggang," katanya.

Sementara itu, anak perempuan Allahyarham, Noraini Abdul Ghapur berkata jenazah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu pagi ini.

"Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamek Kampung Likas, pada pukul 9.30 pagi," katanya.

Abdul Ghapur memulakan karier politiknya pada awal 1970-an dengan menyertai Parti Berjaya dan bertanding di kerusi DUN Merotai, Tawau pada pilihan raya 1976 tetapi kalah.

Namun dia berjaya menyandang kerusi itu pada pilihan raya 1981 yang kemudiannya kerusi berkenaan dipertahankan pada 1985 atas tiket BN.

Abdul Ghapur menjadi ahli parlimen Kalabakan sejak 2004 hingga 2018 atas tiket BN, namun tewas mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Dia menjadi timbalan ketua menteri antara 1995 hingga 1997 dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet negeri termasuk menteri kewangan Sabah serta menteri komunikasi dan kerja raya Sabah.

-Bernama

Tiada ulasan: