"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi: PN sedia beri MCA, MIC kerusi campuran jika keluar BN

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Sanusi Md Nor mencadangkan MCA dan MIC meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta menyertai gabungan pembangkang itu yang sedia menawarkan kerusi campuran kepada mereka pada PRN di enam negeri.

Beliau berpendapat MCA dan MIC memutuskan tidak menyertai PRN di enam negeri disebabkan layanan tidak adil, khasnya membabitkan kerusi campuran yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).

“Pada pandangan saya, bila BN berada bersama parti bukan Melayu dalam PH, khususnya DAP, jadi kerusi campuran ini terpaksa diberikan kepada PH dan kerusi untuk MCA, MIC tak ada lagi. Oleh kerana tidak diberi kerusi boleh menang, jadi bertanding untuk kalah lebih baik MCA dan MIC tak bertanding.

“Saya rasa hal ini perlu dilanjutkan lagi dengan MCA dan MIC keluar BN. Ini lebih munasabah dan saya rasa kerusi campuran boleh diwakili MCA dan MIC kalau mereka jadi komponen PN,” katanya dalam wawancara khas di Facebook malam tadi.

Sanusi juga tidak menolak keputusan MCA dan MIC tidak bertanding PRN sebagai isyarat bantahan terhadap Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

Kelmarin, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan proses pengukuhan parti serta persediaan menghadapi PRU16.

Tetapi, Zahid semalam menafikan dua parti komponen itu memboikot BN, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen untuk membantu jentera BN pada PRN di enam negeri.

Selangor hanya menumpang tuah KL

Sanusi yang juga menteri besar Kedah mendakwa Selangor maju bukan kerana ditadbir PH, tetapi disebabkan lokasinya berdekatan ibu negara, Kuala Lumpur.

Justeru katanya, Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya disebabkan kebijaksanaan pemimpin yang memerintah kerana ia sekadar menumpang tuah daripada Kuala Lumpur.

“Selangor bertuah kerana KL dekat dengan Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan, segala pusat ada di Kuala Lumpur.”

Katanya, negeri lain termasuk Kedah boleh maju seperti Selangor jika ia terletak berdekatan ibu negara.

Beliau yakin jika Kuala Lumpur terletak berhampiran Kedah, negeri pimpinannya itu akan lebih maju daripada Selangor.

Tiada ulasan: