"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masih ada peniaga sorok minyak subsidi

Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
Muhammad Nizam Jamaludin (kemeja biru) meninjau harga barangan selepas merasmikan Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Kedah hari ini - Foto . NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Muhammad Nizam Jamaludin (kemeja biru) meninjau harga barangan selepas merasmikan Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Kedah hari ini - Foto . NSTP/Noorazura Abdul Rahman
SUNGAI PETANI: Masih ada peniaga yang degil apabila terbabit dengan kegiatan menyorok bekalan minyak masak paket bersubsidi di kawasan Alor Setar, Sungai Petani, baling serta Kulim.

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menerima 10 aduan berkaitan bekalan minyak masak bagi tempoh 12 Mac sehingga hari ini.


Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin, berkata tiga aduan masing-masing diterima dari kawasan Alor Setar, Sungai Petani dan Baling dan satu aduan di Kulim.

"Bagaimanapun, hanya tiga aduan yang diambil tindakan iaitu membabitkan kesalahan menyorokkan barang kawalan, menjual minyak masak melebihi harga ditetapkan dan pembelian bersyarat.


"Tujuh aduan lain tidak diambil tindakan memandang selepas pemeriksaan dibuat, tiada kes seperti yang dinyatakan pengadu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Kedah di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Muhammad Nizam berkata kes menyorok bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) membabitkan sebuah premis di Alor Setar manakala di Baling, kes membabitkan penjualan minyak masak paket pada harga RM2.80 sepaket berbanding harga kawalan RM2.50 sepaket.

Katanya, satu lagi aduan di Sungai Petani membabitkan pembelian minyak masak paket bersyarat yang mana pembeli perlu membuat belian bernilai RM50 untuk membeli dua paket minyak masak.

"Ketiga-tiga premis ini melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.


Dalam perkembangan lain, Muhammad Nizam, berkata SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 yang dilaksanakan bermula 5 hingga 19 April membabitkan sebanyak 22 jenis barangan termasuklah daging lembu tempatan dan import, daging kerbau import serta pelbagai jenis sayuran.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDN akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan berterusan bagi memastikan peniaga tidak melanggar peraturan dan hak pengguna dilindungi.

Sementara itu, beliau turut meninjau Program Jualan Rahmah yang diadakan sejak jam 10.30 pagi tadi.

"Terdapat 24 barangan keperluan yang dijual khususnya untuk masyarakat membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Bermula Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 78 Program Jualan Rahmah diadakan di 15 kawasan parlimen di negeri ini sebagai salah satu usaha mengurangkan tekanan terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat," katanya

Tiada ulasan: