"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontraktor didakwa pandu berbahaya, sebabkan kematian Zuhal, Marikh

BERNAMA
Lee Kin Peng didakwa memandu pacuan empat roda dengan cara merbahaya kepada orang awam, sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Zuhal Norazlan dan Ahmad Marikh Norazlan. FOTO BERNAMA
Lee Kin Peng didakwa memandu pacuan empat roda dengan cara merbahaya kepada orang awam, sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Zuhal Norazlan dan Ahmad Marikh Norazlan. FOTO BERNAMA
Sungai Siput: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beradik, minggu lalu.

Lee Kin Peng, 52, didakwa memandu pacuan empat roda dengan cara merbahaya kepada orang awam, sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Zuhal Norazlan, 17.
 
Lelaki itu juga didakwa atas kesalahan sama, sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Marikh Norazlan, 13.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini, antara 7.00 hingga 7.15 pagi, pada 5 April 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S. Vitthiyeswary mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain tertuduh perlu lapor diri di balai polis setiap dua minggu, lesen memandu digantung, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak boleh mendekati saksi kes.

Bagaimanapun, peguam S. Morgan merayu jaminan RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan, dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan selain sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang kesemuanya masih belajar.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 secara kolektif untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan dengan pasport diserahkan kepada mahkamah, serta tertuduh dilarang mengganggu saksi kes.

Mahkamah menetapkan 11 Jun 2024 untuk sebutan semula kes.

Pada 5 April, media melaporkan dua beradik maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda, dalam kejadian langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dalam kenyataan berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 13 dan 17 tahun itu dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Tiada ulasan: