"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelindan lori tak mengaku tikam adik tiri

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
L Thiyagaraj dituduh menikam adik perempuan tirinya menggunakan pisau di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
L Thiyagaraj dituduh menikam adik perempuan tirinya menggunakan pisau di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Teluk Intan: Kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menikam adik tirinya menggunakan pisau, Isnin lalu.

Bagaimanapun L Thiyagaraj, 52, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret T Ashvinii.

Berdasarkan pertuduhan, bapa anak satu itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas L Dewi, 31, dengan menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Muhibbah di sini, jam 8 malam, Isnin lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Aisyah Mat Isa manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh berjumpa dengan mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 9 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang mendakwa cedera di bahagian belakang badan akibat ditikam abang tirinya.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh sebelum lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa sebanyak sekali.

Tiada ulasan: