"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Lawan bedil mercun, 4 lelaki ditahan

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
FOTO Tular
FOTO Tular

Kota Bharu: Polis menahan empat lelaki selepas disyaki berlawan bermain mercun kejadian di Lembah Sireh di sini, semalam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi lima minit 16 saat yang dimuat naik di media sosial yang memaparkan kejadian sekumpulan lelaki sedang bermain mercun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihak polis menahan empat lelaki berusia antara 22 hingga 27 tahun untuk tindakan lanjut.

Katanya, sebelum itu, jam 3 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat berkenaan bunyi bising di mana beberapa lelaki bermain mercun di sekitar kawasan Pasaraya Lotus's Lembah Sireh.

"Sehubungan itu, sepasukan polis dari IPD Kota Bharu ke lokasi kejadian dan mendapati sekumpulan individu bermain mercun secara berlawanan antara dua belah pihak di mana satu pihak berada di kawasan tepi Pasaraya Lotus's, manakala satu pihak lagi berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra.

"Polis menahan empat lelaki sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan dan satu amaran keras dikeluarkan terhadap mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang," katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan berhubung kejadian itu.

Namun katanya, bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang awam adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan tindakan mengikutSeksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) yang boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Justeru, PDRM menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan ketika mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: