"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganggur beraya dalam lokap kerana RM3

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
ASYRAF gagal membayar ikat jamin RM6,000 selepas mengaku tidak bersalah peras ugut penuntut universiti. FOTO Alias Abd Rani
ASYRAF gagal membayar ikat jamin RM6,000 selepas mengaku tidak bersalah peras ugut penuntut universiti. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Penganggur terpaksa beraya dalam penjara selepas gagal membayar ikat jamin sebanyak RM6,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan peras ugut penuntut wanita sebuah universiti awam di Parit Raja, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Asyraf Omar, 26, didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan wang sebanyak RM3 terhadap penuntut berusia 23 tahun, jam 12.30 tengah hari, 26 Mac lalu.

Sebelum itu, dia membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat, jika disabit kesalahan.

Mengikut laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika penuntut terbabit menunggu bas untuk pulang ke Masai, Johor, berikutan cuti akhir semester.

Sewaktu menunggu bas, mangsa didatangi tertuduh lalu meminta wang namun dia enggan melayan permintaannya.

Tanpa diduga, tertuduh bertindak menarik baju mangsa menyebabkan dia ketakutan lalu menyerahkan RM3.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terpaksa berjalan sejauh lima kilometer untuk membuat laporan di Balai Polis Parit Raja.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berikutan pengakuan tidak bersalah dibuat tertuduh, mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.

Tiada ulasan: