"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja maut motosikal langgar kenderaan polis

Bernama
ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah Lumba Haram di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal, di sini, pada 1 Syawal.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menunggang Yamaha 135 LC meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, selain patah kaki dan paha dalam kejadian 2.56 pagi Rabu.

“Polis Melaka mengesan video 40 saat yang tular di media sosial memaparkan kemalangan itu melibatkan pacuan empat roda polis dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebelum kejadian, kenderaan polis dipandu anggota 37 tahun dari Balai Polis Durian Tunggal ke lokasi terlibat susulan aduan awam berkaitan bunyi bising dan aktiviti lumba haram di kawasan itu, sebelum menyalakan lampu mata arah serta bunyi siren bagi memberi amaran kepada kumpulan motosikal terbabit.”

Beliau berkata, menyedari kehadiran polis di kawasan itu, penunggang motosikal yang sedang berkumpul di tepi jalan bertindak melarikan diri.

Ketika kenderaan polis itu sedang membelok ke arah kanan jalan, katanya, mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan merempuh pacuan empat roda terbabit.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi hospital itu pada 12.37 tengah malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Beliau berkata, polis Melaka memastikan siasatan kes terbabit dijalankan secara telus serta profesional dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan lanjut.

Tiada ulasan: