"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 lelaki bergaduh di kasino ditahan, saki-baki diburu polis

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Bentong: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terbabit pergaduhan dua kumpulan di sebuah kasino di Genting Highlands di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pergaduhan itu kira-kira 4 pagi.

Menurutnya, pergaduhan membabitkan sekumpulan 10 individu berusia antara 23 hingga 50 tahun.

"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan itu kerana salah faham antara mereka yang berada di dalam kasino.

"Bertindak atas siasatan, polis berjaya menahan empat lelaki yang disyaki terbabit pergaduhan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata, kesemua empat suspek dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan kerana kecederaan dialami akibat pergaduhan itu dan mereka direman dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Kata beliau, polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan sedang kini giat mengesan suspek yang masih bebas.

"Beberapa rakaman pergaduhan itu turut tular di media sosial," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: