"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bermalam di lokap

Muhaimin Sulam
story-image
(Artikel ini bersempena tarikh Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 ekoran tuduhan salah guna kuasa.)

Waktu itu, malam pertama di lokap – malam yang payah sekali melelapkan mata, biar kelopak mata dipaksa-paksa memejam rapat. Sekejap mengiring ke kiri, ke kanan, terlentang. Mahu meniarap terasa sesak dada pula. Malam itu adalah malam yang panjang. Teringat cerita Ahmad Boestamam semasa darurat. Fajar siang sangat lambat. Saya dapat rasai apa yang alami oleh mereka dipenjara. Terasa begitu terasing, terpisah dan jauh.  

Ingin tahu waktu, tidak tahu kecuali bertanya dengan anggota polis yang bertugas. Baru pukul dua pagi. Selang beberapa ketika tanya lagi. Baru jam tiga pagi. Sampailah waktu subuh bila terasa sayup-sayup suara azan kedengaran di celah lubang lokap. Teringat pesan bapa dan tok guru, solatlah malam apabila begitu.

Teringat juga  cerita Syed Qutb, Imam Abu Hanifah terpenjara dalam buku-buku yang pernah saya baca. Malam itu mula terasa mahu bermunajat. Rindu memanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tiada apa yang mampu saya lakukan kecuali mengisi malam dengan solat.

Ayat al-Quran yang sama diulang-ulang baca. Terasa kesal tidak banyak surah yang dihafal.

Mulalah fikiran melayang mengenang anak isteri yang terpaksa ditinggalkan. Anak-anak masih kecil mungkin mereka tidak faham mengapa bapa mereka masih belum pulang. Ibu mereka pun enggan berterus terang.

Memujuk dengan mengatakan bahawa bapa mereka sedang berkursus. Anak-anak kecil percaya pujukan ibunya. Begitulah adat anak-anak yang bersih hati dan jiwanya.

Pada masa itulah saya memujuk hati. Bersabarlah. Inilah ujian yang Tuhan berikan kepada kamu. Jika kamu tabah dan sabar, nescaya Allah SWT akan kurniakan kemudahan dan keringanan pada masa hadapan.

Mungkin ini ujian untuk meningkatkan takwa dan hampir diri dengan Allah SWT. Bermacam-macam jenis monolog malam pertama itu.

Jika diberikan saya sekeping kertas dan mata pena, nescaya saya akan tulis puisi dan warkah dari lokap. Malam pertama banyak angan dan bayangan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran. Terasa seperti menjadi pejuang hebat. Terasa bangga membuktikan jalan perjuangan yang dipilih. Banyak perasaan yang bermain dalam pemikiran ketika itu.

Sejuk lantai simen lokap ada waktu mengurangkan kehangatan udara malam. Tiada ruang udara kecuali lubang kecil berjeriji dan atas bumbung yang terbuka. Jika hujan, pasti tempias air masuk ke dalam sel.

Apabila panas, melekit-lekit badan berpeluh. Saya memilih tidak memakai baju seragam lokap kerana baunya tidak menyenangkan. Rela tidak berbaju.

Sepanjang tujuh malam itu, saya pilih tidur di koridor menghadap pintu lokap yang sedikit berudara dari luar. Lokap yang mempunyai empat sel dan tiga tandas tanpa pintu terpaksa dikongsi lebih 30 orang pada masa itu.

Ikut peraturannya, lokap itu untuk 25 orang sahaja. Memang sendat macam ikan sardin dalam tin. Tiada selimut dan bantal. Kami tidur di atas lantai bersimen. Jika ada yang menyebut lokap atau penjara VIP berbeza, saya tidak tahu.

Tak rasa aib kena lokap

Saya bersama berbelas-belas OKT (orang kena tahan) ditangkap kerana himpunan Black 14 pada tahun 2000. Kami ditangkap di hadapan Masjid Negara kemudian dibawa ke lokap balai polis Cheras. Mak bapa saya terpaksa rahsiakan penahanan saya.

Tidak pernah terlintas dalam kepala bapa dan keluarga bahawa ada cucu Kiyai Yasin masuk dalam lokap. Pada masa itu, yang masuk lokap ialah pencuri, penagih dan penjenayah. Arwah bapa cakap yang masuk lokap ialah orang jahat.

Arwah bapa, mak dan isteri mahu jumpa dengan saya  tetapi pihak balai tidak benarkan kecuali pada hari ketiga atau keempat. Itupun setelah puas arwah bapa minta.
Pemimpin PAS hadir di mahkamah untuk memberi sokongan
Mereka datang dari kampung. Jauh dari Kuala Lumpur. Semasa itu, dramatik pertemuan kami tiada hendak dibayangkan. Semalam dua terasa setahun lamanya. Apatah lagi jika enam tahun atau 12 tahun.  

Saya dan rakan-rakan dibebaskan atas perintah mahkamah sesyen di bangunan Sultan Abdul Samad pada hari ke lapan. Semangat perjuangan saya semakin kuat. Arwah bapa tidak lagi berasa malu atau kecewa anaknya dilokap.

Ini kerana saya dilokap bukannya kerana merompak, mencuri, rasuah dan seumpamanya. Saya ditangkap kerana menyertai perhimpunan sempena setahun Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun.

Saya ketika itu ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak. Kebanyakan yang menyertai himpunan reformasi adalah penyokong Anwar, ahli PKR dan ahli bawahan PAS.  

Oleh sebab itu, penahanan saya ketika itu mengejutkan pimpinan Pemuda PAS dan penyokong PAS. Memang tiada arahan daripada pimpinan PAS  untuk menyertai perhimpunan haram itu.

Saya pun tidak mahu kena tangkap semasa perhimpunan itu. Sesekali cabut lari daripada dikejar oleh polis dan FRU. Sedaya upaya tidak mahu kena tangkap. Namun sudah ditakdirkan saya kena tangkap pada petang itu bersama seorang lagi anak muda yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan.

Kini anak muda itu menjadi hakim di salah sebuah mahkamah di tanah air kita. Tentu dia akan teringat momen ini apabila mahu membuat sesuatu hukuman kepada yang sabit bersalah.

MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tiada ulasan: