"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dikejutkan lelaki bertopeng jam 3.50 pagi

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Rembau: Empat pekerja kebun sayur di Kampung Senama Tanjung Keling, di sini, terpaksa menerima jahitan di kepala selain ada yang patah tangan selepas disamun lima lelaki bersenjatakan batang besi, kayu dan parang dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, mangsa yang berusia 21 hingga 45 tahun dipercayai sedang tidur di rumah kongsi di kawasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek kira-kira 3.50 pagi.

Menurutnya, kesemua suspek memakai topeng menutup muka dipercayai memecahkan pintu rumah kongsi itu dengan membawa senjata sehingga menyebabkan mangsa mendiamkan diri kerana ketakutan.

"Lima suspek dikatakan memukul badan dan kepala kesemua mangsa sehingga mendapat kecederaan sebelum mengambil telefon bimbit milik tiga mangsa.

"Suspek turut melarikan sebuah pouch bag dan duit RM3,400," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun bernasib baik apabila sebuah lagi telefon bimbit tidak diambil suspek kerana disorokkan sebelum mangsa menghubungi Biro Keselamatan Kampung untuk meminta bantuan.

"Mangsa yang dalam keadaan berdarah dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Menurut mangsa, lima suspek berkenaan bertubuh kecil, memakai kemeja-T berwarna gelap, berseluar jeans dan selain ada yang memakai baju panas.

"Hasil pemeriksaan doktor ke atas mangsa mendapati tiga daripadanya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima beberapa jahitan, manakala seorang lagi mengalami patah tangan kanan dan akan dirujuk ke Hospital Seremban," katanya.

Katanya, polis kini giat memburu suspek dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: