"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanah runtuh dikhuatiri berlaku lagi di PNG, 2,000 mangsa masih tertimbus

BHarianonline
Penduduk setempat menggali di tapak tanah runtuh di Kampung Yambali di wilayah Maip Mulitaka, di Wilayah Enga, Papua New Guinea. - Foto AFP
Penduduk setempat menggali di tapak tanah runtuh di Kampung Yambali di wilayah Maip Mulitaka, di Wilayah Enga, Papua New Guinea. - Foto AFP
PORT MORESBY: Pihak berkuasa tempatan di Enga, Papua New Guinea (PNG) berkata lebih 2,000 penduduk dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh Jumaat lalu dan harapan untuk mereka diselamatkan amat tipis.

Statistik jumlah mangsa yang tertimbus di enam perkampungan sekitar Yambali di wilayah Enga itu terus meningkat sejak bencana alam itu melanda Jumaat lalu, di enam perkampungan yang didiami sekitar 4,000 orang.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum ini melaporkan lebih 670 mangsa dikhuatiri tertimbus tetapi Pusat Bencana Kebangsaan PNG mengesahkan jumlah korban melebihi 2,000 mangsa.

Tambahan pula, muka bumi yang terjejas akibat tanah runtuh Jumaat lalu itu kini dikhuatiri menyebabkan lebih banyak runtuhan ketika pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang masih tertimbus.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran berikutan dihalang oleh serpihan batu dan pokok yang jatuh serta rekahan tanah, ditambah pula bahaya akibat dan pertempuran antara suku kaum di sepanjang laluan utama ke tapak bencana.

Menurut pegawai IOM, Serhan Aktoprak, masih berlaku runtuhan tanah tanah yang membawa , batu sebesar kereta dan batang pokok dari gunung berdekatan.

"Aliran air di antara rekahan tanah dan serpihan semakin laju sehingga retakan kelihatan semakin melebar di tanah bersebelahan dengan tanah runtuh.

"Ini mungkin mencetuskan gelongsoran tanah lagi," katanya sambil memberi amaran wujud risiko serius kepada penyelamat dan orang yang masih tinggal di kawasan terbabit, selepas lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam itu.

Jumaat lalu, sekurang-kurangnya enam perkampungan terpencil di lereng bukit yang sibuk di wilayah Enga musnah apabila runtuhan dari Gunung Mungalo menimbus rumah ketika ramai masih tidur di dalamnya.

Penduduk tempatan menggunakan penyodok dan batang kayu kayu untuk mencari mayat di bawah tanah runtuh sedalam sehingga lapan meter kerana pasukan bantuan sukar sampai ke kawasan pedalaman itu.
Pandangan kerosakan selepas tanah runtuh di Maip Mulitaka, wilayah Enga, Papua New Guinea. - Foto REUTERS
Pandangan kerosakan selepas tanah runtuh di Maip Mulitaka, wilayah Enga, Papua New Guinea. - Foto REUTERS
Angka kematian meningkat kepada 670 mangsa pada hujung minggu lalu selepas pemimpin tempatan dan pekerja bencana mengaudit semula jumlah penduduk yang mungkin tertimbus.

Lumpur yang bercampur dengan batu sebesar kereta dan pokok tumbang dalam kawasan sebesar hampir empat padang bola sepak menyukarkan lagi usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Aktoprak berkata, pertempuran puak yang tidak berkaitan dengan bencana itu turut menghalang percubaan untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan dari ibu kota wilayah Wabeg.

Pertelingkahan antara suku kaum berbeza menyebabkan suasana tegang dengan semua belia dan lelaki di kawasan itu membawa parang, sekali gus menyukarkan kemasukan jentolak dan jentera pengorek lain ke lokasi bencana, yang terletak kira-kira 600 kilometer (km) dari Port Moresby.

Sebuah syarikat usaha sama perlombongan berdekatan, New Porgera Limited, bersetuju untuk menyediakan penggali mekanikal untuk membantu penyelamat dan membersihkan jalan.

Terletak di sebelah Gunung Mungalo yang berhutan tebal, kampung itu adalah rumah kepada penduduk sementara yang kadang kala meningkat kepada lebih 4,000 orang.

Ia berfungsi sebagai pos perdagangan untuk pelombong yang mencari emas di kawasan tanah tinggi itu.

PNG mempunyai antara iklim paling basah di dunia, menurut Bank Dunia, dengan hujan lebat tertumpu di kawasan pedalaman tanah tinggi yang lembap.

Penyelidikan mendapati perubahan corak hujan yang dikaitkan dengan perubahan iklim boleh memburukkan lagi risiko tanah runtuh.

Sejak awal tahun, negara itu mengalami pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan tanah runtuh, menyebabkan sektor perkhidmatan kecemasan terjejas teruk. - AFP

Tiada ulasan: