"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

24 termasuk 9 kanak-kanak maut pusat permainan terbakar

Agensi
KEADAAN bangunan Zon Permainan di Rajkot yang terbakar. FOTO Reuters
KEADAAN bangunan Zon Permainan di Rajkot yang terbakar. FOTO Reuters
New Delhi: Sekurang-kurangnya 24 orang, termasuk sembilan kanak-kanak, maut dalam kebakaran sebuah pusat permainan di Rajkot, Gujarat pada Sabtu.

Beberapa orang terperangkap selepas keseluruhan pusat permainan TRP itu terbakar.

Empat kenderaan bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran dan memulakan operasi menyelamat.

Kebakaran itu berlaku di struktur sementara di pusat permainan TRP, menurut laporan agensi berita PTI.

Punca kebakaran masih tidak diketahui buat masa ini.

Pengurus dan pemilik pusat permainan adalah antara tiga yang ditahan berhubung insiden kebakaran itu.

Pesuruhjaya Polis Rajkot Raju Bhargava berkata, "Kami akan mendaftarkan kesalahan kerana kecuaian dan kematian yang berlaku.

"Siasatan lanjut akan dilakukan sebaik sahaja operasi menyelamat selesai," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Gujarat Bhupendra Patel berkata pihak berkuasa sudah diarahkan untuk memberi rawatan segera kepada yang cedera.

"Arahan sudah diberikan kepada Perbadanan Perbandaran dan pentadbiran untuk menjalankan operasi menyelamat dan bantuan segera dalam insiden kebakaran di pusat permainan di Rajkot," tweet Bhupendra Patel.

Patel juga mengumumkan ex gratia sebanyak Rs 4 lakh (kira-kira RM22,000) kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu dan Rs 50,000 (RM2,836) kepada yang cedera.

Patel berkata, Pasukan Siasatan Khas (SIT) akan diwujudkan untuk mencari punca sebenar kebakaran.

Perdana Menteri Narendra Modi turut mengambil perhatian mengenai kejadian itu dan berkata pentadbiran sedang berusaha untuk memberikan semua bantuan kepada mereka yang terjejas.

"Saya sangat terkesan dengan kejadian kebakaran di Rajkot. Ingatan saya sentiasa bersama mereka yang kehilangan orang tersayang. Doa kepada mereka yang cedera.

"Pentadbiran tempatan sedang berusaha untuk memberikan semua bantuan yang mungkin kepada mereka yang terjejas," kata Modi di X.

Seorang pegawai bomba berkata operasi memadam kebakaran sukar kerana keadaan berangin.

"Punca kebakaran belum dapat dipastikan. Usaha memadam kebakaran sedang dijalankan. Kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai orang hilang.

"Kami menghadapi kesukaran dalam operasi memadam kebakaran kerana struktur sementara sudah runtuh dan keadaan angin ," kata pegawai bomba IV Kher dipetik sebagai berkata oleh agensi berita ANI.

Tiada ulasan: