"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kagum dengan prestasi Anwar, Ali Tinju sertai PKR

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno Ali Baharom, yang terkenal kerana mengetuai demonstrasi balas menentang perhimpunan Bersih dan mengadakan ‘protes senaman punggung’ di luar rumah pengerusi Bersih ketika itu Ambiga Sreenevasan, telah menyertai PKR.

Ali, lebih dikenali sebagai Ali Tinju, memberitahu FMT dia kagum dengan tadbir urus Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang meyakinkannya untuk menyertai PKR.

Anwar adalah presiden PKR.

“Apabila Anwar menjadi perdana menteri, saya meragui kemampuannya, tetapi berdasarkan prestasinya, saya rasa dia adalah pemimpin yang diperlukan negara sekarang.

“Perjuangannya menentang ahli politik dan penjawat awam yang korup adalah perjuangan yang sukar, kerana ia adalah masalah yang melanda kita selama beberapa dekad, tetapi dia telah melakukan kerja yang hebat setakat ini,” kata veteran tentera itu.

Beliau berkata perang Anwar menentang rasuah telah meningkatkan keyakinan di kalangan pelabur asing di Malaysia.

Ali berkata beliau secara rasmi menjadi ahli PKR pada 5 Mei lalu dan berdaftar dengan bahagian Bandar Tun Razak.

Ditanya apa yang manfaat yang akan dibawanya, Ali berkata beliau akan menggalakkan penyokongnya menyokong kerajaan perpaduan.

“Saya telah berkecimpung dalam politik selama lebih 20 tahun dan dengan pengalaman dan pengaruh itu, saya akan bercakap benar dan menggalakkan pengikut saya menyokong kerajaan,” katanya.

Pada 2018, Ali berusaha untuk menyertai Bersatu selepas mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Umno berikutan skandal rasuah yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, tetapi ditolak.

Baru-baru ini, beliau dikesan berkempen untuk Pang Sock Tao, calon kerajaan perpaduan dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Pada 2012, ‘protes senaman punggung’ Ali menjadi perhatian apabila dia membawa kira-kira sedozen penyokong, dengan punggung mereka dihalakan ke rumah Ambiga di Bukit Damansara.

Bantahan itu adalah untuk memberi amaran kepada Ambiga supaya tidak meneruskan perhimpunan Bersih ketiga tahun itu, berikutan perhimpunan besar pada 2011 untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.

Ali, yang telah mengetuai gerakan ‘baju merah’ untuk menentang Bersih, juga telah menimbulkan kontroversi pada 2016 apabila dia memberi amaran kepada ketua Bersih ketika itu Maria Chin Abdullah supaya berhati-hati selepas beliau mengesahkan bahawa perhimpunan akan diadakan pada tahun itu.

Tiada ulasan: