FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pembantu kedai makan didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah terhadap dua pekerja kedai serbaneka, Isnin lalu.
Tertuduh, Muhammad Latiff Daud Osman, 27, membuat pengakuan itu terhadap dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman, lapor Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 24 tahun dalam kejadian di Taman Orchid Height, 6.40 petang pada 20 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit boleh didenda maksimum setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa cuba menakutkan secara jenayah dengan mengugut mangsa berusia 21 tahun dengan kata-kata ‘kau tunggu jangan sampai aku tetak kau’ di mana kejadian itu berlaku pada waktu, tarikh dan tempat sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh datang ke tempat kerja mangsa kerana marah wanita itu menyekat untuk menjadi kenalan di media sosial.
Pertemuan itu mencetuskan pertengkaran sebelum tertuduh menarik dan memulas tangan mangsa. Rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba meleraikan, sebaliknya turut diugut oleh tertuduh.
Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan menerima rawatan manakala rakannya mengalami ketakutan akibat ugutan tetak terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM1,800 untuk pertuduhan kedua.
Mahkamah turut mengarahkan memutuskan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar kedua-dua denda dikenakan terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan