"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tak profesional, layan mangsa macam suspek dakwa NGO pekak

Malaysiakini

Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (Dawn) mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak profesional dalam mengendalikan kes dakwaan seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh pengiring kerabat diraja Johor.

Dawn malah mendakwa pemandu e-hailing yang merupakan mangsa dalam kes terbabit juga didakwa dilayan seperti suspek.

“Setibanya di balai polis antara lima petang dan enam petang, dia telah diiringi ke pejabat pegawai polis dan ditinggalkan tanpa pengawasan selama berjam-jam. 

“Dia diminta menyerahkan telefonnya kepada pegawai polis yang bertanggungjawab. 

“Mangsa tidak menerima penjelasan untuk pemeriksaan telefon atau penyimpanan berpanjangan telefonnya, dan dilayan seolah-olah dia seorang suspek,” dakwa Dawn.

Polis kelmarin mendedahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian lelaki itu yang didakwa dipukul oleh pengawal peribadi seorang kerabat diraja di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Polis tidak mendedahkan identiti suspek tetapi media melaporkan identitinya sebagai pengawal peribadi kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang lebih dikenali sebagai (TMJ).

Beberapa jam selepas itu, polis bagaimanapun mengeluarkan kenyataan bahawa pengadu membuat laporan polis kedua bahawa perkara itu diselesaikan secara baik dan dia tidak mahu memanjangkan kes.

Dalam kenyataan semalam, Dawn mengimbas kembali apa yang berlaku pada hari kejadian, selepas pemandu itu didakwa dipukul.

“Mangsa berasa kurang senang dan tidak pasti tentang langkah yang perlu diambilnya seterusnya. 

“Dia dinasihatkan membuat laporan polis dan terus ke balai polis di Brickfields untuk melaporkan kejadian itu. Laporan itu (dibuat) berdasarkan mesej yang disediakan oleh rakannya. 

“Dia diminta untuk menunjukkan bukti kejadian tumbukan muka, selepas itu dia menunjukkan video di telefonnya. Susulan laporan itu, dia diarahkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Semasa dia menjalani pemeriksaan kesihatan, dia menerima pesanan untuk kembali ke balai polis pada hari yang sama, 28 Mei 2024,” katanya.

Dawn berkata mangsa juga memohon telefon bimbitnya dipulangkan namun ditolak.

“Atas alasan apakah telefon bimbit mangsa disimpan untuk siasatan polis?” soal Dawn.

“Privasinya sepatutnya dihormati sepenuhnya, kerana dia adalah mangsa dalam kes ini.”

‘Masih berkabung, anak baru meninggal’

Malah, kata Dawn, anak OKU itu bagi meninggal dunia tiga minggu sebelum itu dan dia masih berkabung. 

“Situasi yang timbul daripada insiden serangan ini telah memberi kesan yang mendalam kepada beliau, menyukarkan beliau untuk menghadapinya.

“Mangsa (seorang OKU) pekak tidak dapat mempertahankan dirinya dengan secukupnya. 

“Telah dilaporkan bahawa kes itu tidak dikendalikan secara profesional dan tidak berintegriti,” menurut Dawn.

Tegas Dawn lagi, penglibatan seorang jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang profesional dan cekap diperlukan dalam kes terbabit.

NGO itu juga berkata, tidak kira sama ada apa yang berlaku berpunca dari salah faham atau tidak, semua orang mesti dilayan secara saksama.

“Walaupun dia memiliki kad OKU kerana ketidakupayaannya untuk mendengar dan bercakap (namun, dia tidak bisu), dia tidak sepatutnya dianggap sebagai warganegara yang berkelas lebih rendah,” katanya.

Dawn juga mendakwa pemandu OKU itu diberi dua pilihan, sama ada meneruskan kes ke mahkamah atau menggugurkan kes itu dan diberi pampasan.

Menurut Dawn, mangsa dimaklumkan jika memilih pilihan pertama, telefonnya akan dirampas. 

“Di bawah tekanan, mangsa Pekak menggugurkan kes dan bersetuju untuk diberi pampasan,” dakwanya.

Malaysiakini sedang cuba mendakwa penjelasan polis berkaitan dakwaan-dakwaan di atas.

Tiada ulasan: