"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi pengkhianat dikalangan penjawat awam

Lepaskan lori barang, empat kastam kena dakwa

MOHD YUNUS YAKKUB
Empat anggota Kastam ketika dibawa pegawai SPRM untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!
SHAH ALAM – Empat anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima suapan RM1,200 hingga RM32,300 bagi melepaskan lori barangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka ialah Rahi Shamudin Ishak, 51, Mat Hafizan Abdullah, 42, Ahmad Shahremy Ahmad Damanhuri, 40, Mohd. Sufian Hashim, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Rahi Shamudin didakwa atas 42 pertuduhan rasuah berjumlah RM32,300, manakala Mat Hafizan pula empat tuduhan berjumlah RM1,200 diikuti Mohd. Sufian dengan dua pertuduhan RM1,250 dan Ahmad Shahremy pula satu pertuduhan bernilai RM5,000.

Mereka sebagai pembantu penguasa Kastam Gred WK19 menerima suapan secara pemindahan ke dalam akaun bank masing-masing daripada pemilik syarikat berusia 38 tahun.

Ini sebagai balasan untuk tidak memeriksa lori-lori milik syarikat tersebut yang membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Perbuatan itu dilakukan di cawangan bank di KLIA, Taman Sri Serdang dan Bandar Baru Salak Tinggi pada 1 Disember 2017 hingga 24 April 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. ‘Afif Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hezri Shaharil dan Muhamad Aizat Fakri.

Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 kepada Rahi Shamudin sementara Mat Hafizan (RM10,000) serta masing-masing RM8,000 untuk Mohd. Sufian dan Ahmad Shahremy.

Mereka diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya setiap awal bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: