"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes 7 bayi maut: Hospital didapati beroperasi tanpa lesen sah

Agensi

REAKSI seorang bapa susulan kebakaran di hospital berkenaan. FOTO Reuters
New Delhi: Sebuah hospital di ibu negara India, di mana tujuh bayi maut dalam kebakaran, Sabtu lalu, didapati beroperasi tanpa lesen sah, lapor BBC.

Polis berkata, kebakaran itu membawa kepada penahanan pemilik hospital dan doktor bertugas.

Siasatan mendapati hospital itu juga tidak mempunyai alat pemadam api atau pintu kecemasan.

Tragedi itu berlaku beberapa jam selepas kebakaran di arked permainnan di bandar Rajkot, negeri Gujarat, yang mengorbankan 27 orang.

Kebakaran sering berlaku di bangunan kediaman dan komersial di India kerana penguatkuasaan tahap keselamatan yang longgar.

Tragedi pada Sabtu lalu itu di mana kebakaran melanda hospital di kawasan kejiranan Vivek Vihar di Delhi, menggerunkan dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Pesuruhjaya Polis Shahdara, Surendra Chaudhary berkata kepada agensi berita ANI, NOC (Sijil Tiada Bantahan) hospital itu sudah tamat tempoh pada 31 Mac lalu.

NOC yang memperakui bahawa bangunan memenuhi piawaian keselamatan kebakaran diperlukan untuk bangunan hospital yang mempunyai ketinggian lebih daripada 15 meter.

Chaudhary menambah bahawa hospital itu hanya dibenarkan mempunyai lima katil tetapi pada masa kejadian, ia mempunyai 10 katil.

Ketika kebakaran, 12 bayi yang baru lahir berada di hospital. Lima daripada mereka kini dirawat di hospital lain.

Polis sudah menahan Pengarah Hospital Dr Naveen Kichi dan seorang doktor bernama Akash berhubung kebakaran itu. Mereka didakwa dengan tuduhan menyebabkan kematian.

Dr Akash, yang bertugas ketika kejadian, tidak layak untuk merawat bayi baru lahir yang memerlukan rawatan rapi, kata polis.

Kerajaan Delhi juga sudah mengarahkan siasatan undang-undang.

Visual dramatik kebakaran yang melanda bangunan itu pada Sabtu lalu itu, tersebar di media sosial.

Pengarah Jabatan Bomba Delhi, Atul Garg, memberitahu agensi berita Press Trust of India bahawa kebakaran merebak akibat letupan dalam silinder oksigen.

Tiada ulasan: